KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 7 Disember ini bagi mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membatalkan notis kebankrapan terhadapnya kerana gagal membayar tunggakan cukai tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Tarikh sama ditetapkan untuk mendengar permohonan Najib bagi menggantung prosiding kebankrapan ke atasnya sementara menunggu pelupusan satu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Rayuan itu berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 Julai tahun lalu yang membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi menuntut tunggakan cukai pendapatan tambahan berjumlah RM1.69 bilion.
Najib turut memohon untuk menggantung prosiding kebankrapan sementara menunggu rayuan penghutang penghakiman (Najib) di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT), selesai sepenuhnya.
Perkara itu dimaklumkan kepada pihak media oleh peguam Wee Yeong Kang yang mewakili bekas Perdana Menteri selepas pengurusan kes secara dalam talian (e-Review) di hadapan Timbalan Pendaftar Ida Rahayu Sharif.
Prosiding hari ini turut disertai oleh Peguam Hasil Siti Aisyah Yusoff dan Athari Faris Ammerry Hussein bagi pihak LHDN.
Najib memfailkan permohonan untuk membatalkan notis kebankarapan itu atas alasan notis yang dikeluarkan LHDN berniat jahat, menindas dan penyalahgunaan proses mahkamah selain taktik konspirasi politik bertujuan merosakkan karier politiknya.
Kerajaan melalui LHDN, memfailkan notis kebankrapan terhadap Najib selaku penghutang di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Februari lalu.
Berdasarkan notis berkenaan, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai tahun lalu (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari lalu iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000. – UTUSAN ONLINE