SHAH ALAM: Perbicaraan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ditangguhkan selepas beliau tidak dapat hadir kerana menerima rawatan di hospital akibat sakit belakang yang dialaminya.
Beliau sepatutnya hadir ke Mahkamah Shah Alam hari ini bagi meneruskan perbicaraan berhubung tuduhan rasuah melibatkan Sistem Visa Luar Negara (VLN) yang dikaitkan dengan syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB).
Permohonan itu dibuat peguam yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Hamidi Mohd. Noh yang menjelaskan anak guamnya masih berada di hospital dan tidak dapat hadir bagi mendengar keterangan saksi.
“Keterangan itu perlu dirakam dengan kehadiran beliau, itu adalah provision di bawah Seksyen 264 Kanun Keseksaan.
“Jadi, pada Ahad lepas beliau masuk ke Hospital Pakar Avisena untuk dapatkan rawatan (akibat slip disk). Dalam keadaan itu, kita tak boleh jalan. Sebab, macam semalam di Kuala Lumpur kita sudah bersedia untuk jalan. Hari ini pun sama kita sudah bersedia, kalau mahkamah kata jalan, kita jalan,” katanya kepada pemberita.
Ahmad Zahid sebelum ini didakwa atas 40 pertuduhan rasuah berhubung VLN bagi melihat bukti kaitan rapat antara pelantikan UKSB sebagai kontraktor dan fakta penerima wang tunai.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran, kaitan antara kedua-dua fakta tersebut adalah penting untuk membuktikan bahawa Ahmad Zahid, 68, selaku tertuduh telah menerima wang suapan sebagai upah dan sebagai dorongan mengekalkan dan atau melanjutkan kontrak lantikan UKSB.
Namun, lanjutan prosiding yang sepatutnya berlangsung selama 16 hari pada 1 Jun lalu ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara.
Kemudian, Raja Rozela dipetik dalam laporan akhbar memaklumkan prosiding itu yang sepatutnya disambung pada 15 Jun ditangguhkan sekali lagi pada 25 Ogos, 1 dan 2 September bagi mendengar keterangan dua atau tiga orang saksi yang dipanggil.
Mengulas lanjut, Hamidi memaklumkan doktor pakar yang merawat Ahmad Zahid akan memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah pada petang ini bagi memberi keterangan mengenai prosedur rawatan yang diterima beliau.
Tambahnya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sebelum ini pernah mendapatkan rawatan di Jerman, namun selepas didakwa, beliau tidak dibenarkan ke luar negara dan pasportnya dipegang mahkamah.
“Dahulu beliau ada slip disk dan menerima rawatan di Jerman, kemudian dia dituduh di mahkamah. Bila dia dituduh di mahkamah, pasport dia dirampas mahkamah pegang pasport dia.
“He fell down, beliau jatuh dan memerlukan satu… beliau memang sakit belakang. Sakit belakangnya memang sudah lama, pada tahun 2019, kita pun buat juga permohonan supaya beliau pun boleh dapat rawatan. Jadi dia tak boleh dapatkan rawatan. Memang sekarang dia on painkiller constantly sejak tahun 2019,” jelasnya.
Untuk makluman, Ahmad Zahid menerima suapan berjumlah S$13.56 juta sebagai dorongan bagi dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri melanjutkan kontrak sebuah syarikat sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Bagi tujuh pertuduhan lain, beliau didakwa mendapat untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai S$1,150,000; RM3,000,000; 15,000 euro dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.
Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017.