Perang tak berpenghujung, dua diva - Utusan Malaysia

Perang tak berpenghujung, dua diva

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERANG dingin dua bintang termasyhur ini seperti tidak berpenghujung apabila saban tahun menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat dan pengikut industri hiburan antarabangsa.

Penyanyi bersuara emas, Mariah Carey, 51, seperti ramai mengetahui bukanlah figura biasa memandangkan pengaruhnya terlalu hebat, melangkaui barisan ahli politik mahupun jutawan ternama.

Begitu juga halnya dengan penyanyi dan pelakon tersohor, Jenifer Lopez atau JLo, 52, yang ‘dianugerahkan’ kehebatan tersendiri sehingga disebut-sebut sebagai pesaing terdekat Carey.

Hubungan dingin kedua Diva Hollywood ini bukan setahun dua, malah sudah berlanjutan terlalu lama.

Baru-baru ini, pelawak, Margaret Cho, 52 tampil mendedahkan bahawa Carey dalam sebuah majlis keramaian sekitar awal 90-an pernah meluahkan rasa geram dan menyuarakan keinginan untuk menyerang seorang wanita dipercayai JLo.

Pendedahan itu dibuat Cho dalam program The Carlos Watson Show yang disiarkan di Youtube.

“Dia (Carey) merancang untuk mengasari wanita itu. Saya percaya orang yang dimaksudkannya JLo yang pada ketika itu hanya selebriti biasa,” katanya.

Sudah terang lagi bersuluh, persengketaan Carey dan JLo bukanlah rahsia yang sebenarnya bermula awal 90-an lagi. Semuanya tercetus selepas JLo didakwa ‘mencuri’ sampel melodi lagu Loverboy karya asal milik Carey.

Lebih parah, JLo dikesan menggunakan melodi berkenaan dalam lagu I’m Real yang dinyanyikan bersama penyanyi rap terkenal Ja Rule. Lagu tersebut tanpa diduga menjadi antara asbab lonjakkan populariti JLo yang ketika itu masih merangkak mencari ‘ruang‘ dalam industri hiburan di Hollywood.

Dalam pada itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif yang juga bekas suami Carey, Tommy Mottola juga dipercayai menjadi dalang dalam ‘episod’ awal permusuhan mereka.

Carey mengahwini Motolla selepas menyertai Sony Music sekitar awal 90-an. Namun selepas empat tahun bersama, penyanyi lagu We Belong Together ini pada 1997 memutuskan untuk berpisah dengan Motolla dan menamatkan kontrak bersama Sony Music untuk menyertai syarikat rakaman lain.

Ibu kepada dua cahaya mata ini menerusi biografi, The Meaning of Mariah Carey yang diterbitkan tahun lalu mendedahkan Tommy menyimpan dendam dan enggan melihatnya mengecapi kejayaan.

“Kerana itu, dia segera menghasilkan lagu yang menyamai sampel lagu saya untuk seorang penyanyi wanita yang tidak saya kenali,” katanya sinis.

Kebencian Carey terhadap JLo mula ketara sekitar tahun 2000 apabila penyanyi berdarah kacukan Afrika Amerika ini menegaskan dia tidak mengenali JLo selepas disoal tentang penyanyi itu oleh wartawan hiburan di Jerman. Susulan itu, kontroversi antara kedua penyanyi memuncak dengan penglibatan peminat yang menggunakan kenyataan Carey itu sebagai ‘serangan balas’ kepada pelakon filem Hustler tersebut.

Carey dalam wawancara bersama Larry King pada 2002 pernah menyindir JLo yang dianggapnya sebagai seorang yang tidak dikenalinya secara peribadi.

“Persaingan itu ada, tetapi dia tiada kaitan dengan saya. Saya menulis lagu dan menyanyikannya manakala apa yang dilakukannya adalah sesuatu yang lain,” katanya.

JLo dalam pada itu kekal bermain ‘selamat’ berhubung isu persengketaannya dengan Carey.

Dalam wawancara bersama Andy Cohen pada 2014, bekas isteri penyanyi Marc Anthony ini memberitahu dia peminat kepada karya seni Carey.

“Saya pernah terbaca komen-komennya tentang saya yang mana bukanlah yang terbaik, tetapi kami berdua tidak pernah bertemu. Saya sedih dengan komen negatif itu kerana saya salah seorang peminatnya,” katanya.

Pada 2015, isu kebencian dua penghibur ini sekali lagi disebut-sebut selepas ada pihak mendakwa JLo yang duduk di barisan hadapan dalam satu majlis penganugerahan berprestij sengaja tidak memberi tumpuan dan leka bermain telefon bimbit ketika Carey membuat persembahan.

Namun JLo menafikan dakwaan itu dan menjelaskan telah menonton sepenuhnya persembahan Carey sehingga tamat.

Sumber: The Sun

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya