Peranan Margasatwa dalam industri: Melawan dan mencabar - Utusan Malaysia

Peranan Margasatwa dalam industri: Melawan dan mencabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERENDIPITI ialah istilah tepat bagi menggambarkan peristiwa pembentukan kugiran Margasatwa. Anda boleh dengarkan kisah pembentukan mereka dalam rancangan Borak Rondivu Bersama Margasatwa di Facebook Utusan Online dan Kosmo! Online.

Kisahnya menarik kerana mereka bukanlah seperti kebanyakan kugiran lain yang ber­sahabat lama kemudian membentuk kugiran. Keserasian itu hadir selepas kugiran dibentuk dan yang ajaibnya, mere­ka serasi dari semua arah.

Album sulung swatajuk Margasatwa yang dilancarkan pada 2019 sudah cukup memberi gambaran hala tuju mereka. Ini bukan kugiran komersial penuh seperti yang mudah dijumpai di arus perdana. Baik dari segi gaya mahupun muzik, Margasatwa mahu melawan konformiti; mela­wan arus dengan tampil berbeza.

Kimal (vokal), Sammy (gitar), Fadhil (gitar), Shadiq (bes) dan Syahir (dram) hadir untuk menggoncang industri. Mereka menawarkan muzik yang luar dari kebiasaan dan mencabar pemerhati muzik dengan nilai eksentrik dan muzik lakuran.

Gondrong tanda melawan

Seperti tajuk zine terbitan RepublikBuku, Rambut Panjang Simbol Perlawanan, begitulah saya mengaitkan gaya Margasatwa dengan perjuangan muzik mereka. Semua ahli mereka berambut pan­jang termasuk seorang yang bergaya afro. Fesyen yang disarung tidak mengikut trend. Mereka dah pakai seluar bell-bottom dengan kemeja buka dada sebelum Bruno Mars dan Anderson .Paak meletup dengan Leave The Door Open lagi.

Muzik mereka juga saya tafsirkan sebagai cabaran kepada industri muzik Malaysia. Artis yang bergerak secara independen sering dipertikai kredibilitinya, terutamanya soal vokal. Dengarkan vokal Kimal, mampu anda nak kecam? Ramai yang mengeluh muzik Malaysia sudah kering kemelayuannya. Dengarkan lenggok vokal dan permainan instrumen dalam Gemersik Hilai dan Alam Sendiri. Muzik sekarang asyik kisah cinta saja! Margasatwa buat lagu Cuaca dan Ego. Ego yang mereka kisahkan bukan seperti dalam Kesilapanku Keegoanmu.

Margasatwa sudah buat apa yang pendengar tempatan mahu. Persoalannya, mampukah industri meraikan kehadiran dan mengiktiraf bakat serta usaha mereka?

Meraikan keaslian

Yang Asli seharusnya menjadi permulaan untuk industri muzik tempatan mengiktiraf Margasatwa. Mungkin lagu-lagu sebelum ini sukar nak diterima kerana topik liriknya rawak dan susunan muziknya agak kompleks. Namun, untuk Yang Asli, Margasatwa tampil lebih santai dan komersial.

Identiti Margasatwa masih ada tetapi mereka memilih untuk bercerita tentang hal yang lebih terkini dan dekat dengan masyarakat: sindir rupa. Mereka memilih untuk bersuara mewakili orang yang selalu dikecam sebab rupa, baik sebab dia gemuk, berpakaian aneh atau gaya rambut tidak ikut trend.

Mesej ini disampaikan dengan lebih jelas dalam video muzik mereka. Menggunakan anggota sendiri, Syahir, mereka tunjukkan betapa pemain dram itu perlu dihargai kerana bakatnya, bukan disisih kerana gaya rambut yang berbeza.

Yang Asli juga membuka lem­baran baharu buat Margasatwa dengan gaya muzik yang agak berbeza. Kali ini mereka menam­pilkan sedikit pengaruh J-Rock yang dilakur dengan gaya rock klasik. Mereka masih Margasatwa tetapi lebih terbuka dan versatil.

Terbang jauh Margasatwa

Margasatwa saya letakkan bersekali dengan Ramayan, Jemson, Sekumpulan Orang Gila, Mafidz dan beberapa kugiran lain yang sepatutnya sudah diterima meluas di Malaysia. Cuma nampaknya, pendengar kita masih belum bersedia.

Lagu-lagu kugiran ini sepatutnya sudah tiada masalah untuk tampil dalam anugerah dan carta radio popular. Rempahnya sudah ada tetapi industri muzik kita agak terkongkong dan sukar menerima kelainan.

Tidak mengapalah, banyak lagi ruang lain boleh diteroka. Mereka akan sentiasa diraikan dalam lapangan independen. Mereka juga berpotensi dikenali di luar negara. Kita teruskan usaha mendidik pendengar tempatan agar lebih terbuka dan seperti resam mergastua, Margasatwa tidak perlu dikurung dalam cagar alam. Terbang dan merayaulah sejauh mungkin. Jauhari akan mengenal manikam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya