KANGAR: Sindiket penyeludupan daun ketum di perairan Kuala Perlis di sini melakukan pelbagai helah bagi menjalankan aktiviti terlarang itu termasuk kaedah terbaharu menggunakan dron bagi memantau pergerakan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melakukan rondaan di kawasan perairan.
Hasil maklumat yang diperolehi, terdapat sindiket yang menggunakan peralatan tersebut setiap kali mahu menyeludup daun ketum ke negara jiran melalui jalan laut.
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah memberitahu, selain mengupah tonto, sindiket juga menggunakan dron untuk memantau pergerakan bot Maritim Malaysia dan agensi penguat kuasa lain.
Katanya, penggunaan dron tersebut dipercayai bagi memudahkan kerja penyeludup untuk memastikan laluan menghala sempadan perairan Malaysia-Thailand itu selamat untuk dilalui sebelum melakukan aktiviti penyeludupan tersebut.
“Kita bukan sahaja menghadapi cabaran tonto yang menyalurkan maklumat sebaliknya taktik lain yang digunakan penyeludup itu.
“Tonto-tonto ini boleh berada di mana sahaja termasuk di kawasan rumah atas air atau mungkin menyamar sebagai nelayan dan pemancing. Mereka mungkin menerima upah sehingga RM50 untuk salurkan maklumat hanya melalui panggilan telefon,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd. Zawawi memberitahu, sebanyak 200 bungkusan hitam seberat kira-kira dua tan metrik daun ketum dianggarkan bernilai RM360,000 ditemukan terapung di laut pada kedudukan 1.1 batu nautika barat daya Pulau Batu Layang di sini, semalam.
Katanya, penyeludup terbabit dipercayai mencampakkan semua bungkusan daun ketum tersebut selepas mengetahui kegiatan mereka telah dihidu pihak berkuasa sebelum bertindak melarikan diri.
“Kita percaya mereka mendapat maklumat tentang pergerakan penguat kuasa Maritim Malaysia daripada tonto yang diupah. Penyeludup tersebut dipercayai datang dari kawasan Kuala Sanglang yang menjadi salah satu daripada lapan laluan panas penyeludupan daun ketum itu,” katanya.
Tambah Mohd. Zawawi, pihaknya percaya modus operandi sindiket tersebut adalah dengan memunggah bungkusan daun ketum itu ke bot nelayan Thailand di sempadan perairan negara.
Katanya, penyeludup juga disyaki akan membawa masuk barang terlarang lain ke negara ini dengan upah antara RM300 hingga RM500 setiap perjalanan.
“Penyeludup biasanya akan mengendalikan bot dalam keadaan gelap dan hanya mengambil masa kira-kira 15 minit perjalanan dari lokasi rampasan ketum itu ke sempadan perairan negara,” katanya. – UTUSAN