KUALA LUMPUR: Seorang penjual sup herba mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membuat laporan polis palsu dia diperas ugut oleh polis.
Muhammad Amar Zaid Muhammad Amir Lim, 21, memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Wong Chai Sia.
Mengikut pertuduhan, pemuda itu didapati memberi maklumat seperti mana dalam laporan polis Kepong yang mana diketahui tertuduh sebagai palsu.
Muhammad Amar Zaid memberi maklumat itu kepada Lans Koperal Nuratikah Kafly bagi maksud hendak menyebabkan penjawat awam itu menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang berkenaan dengan hal yang dimaklumkan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Sentul di sini pukul 12.03 tengah hari pada 7 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar menawarkan jaminan RM7,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Andy Yong Kim Seng yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangan ikat jamin dengan alasan anak guamnya masih muda dan hanya berkerja sebagai penjual sup herba.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Tarikh 1 Oktober ini ditetapkan sebutan kes.
Sebelum ini media melaporkan Muhammad Amar mendakwa diperas ugut oleh anggota polis pada 2 Jun lalu kerana gagal mengemukakan surat kebenaran untuk beroperasi dalam tempoh “total lockdown”.
Menurut laporan sebuah portal sebelum ini, tertuduh yang juga dikenali sebagai Lim Thiam Fook, kemudiannya memutuskan untuk menukar keterangan dan menarik balik dakwaan dia diperas ugut oleh tiga anggota polis. – UTUSAN ONLINE