KEMAMAN: Niat sepasang suami isteri untuk membuka kembali operasi restoran tomyam milik mereka yang ditutup hampir setahun terbantut selepas hampir semua perkasasan di premis mereka hilang dipercayai dicuri.
Kehilangan itu hanya disedari Nor Saidatul Hafiza Zulkifli, 30, dan suaminya, Wan Muhamad Ikrimah Wan Rozali, 28, ketika datang untuk mengemas premis itu pada pukul 2 petang, semalam.
Katanya, antara yang hilang ialah 100 kerusi, 30 meja, pendingin hawa, 18 tong gas, sebuah peti sejuk di samping pelbagai pinggan mangkuk yang melibatkan kerugian lebih RM50,000.
“Hampir setahun restoran tidak beroperasi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), memandangkan kami menetap di Kuantan, Pahang dan sukar untuk merentas negeri.
“Sebenarnya kami memang berhasrat untuk membuka restoran semula kerana sudah lengkap dua dos vaksinasi tetapi, alangkah terkejutnya apabila mendapati premis kami kosong,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nor Saidatul Hafiza berkata, kesemua barangan dan perkasasan masih terletak elok dalam restoran ketika berkunjung ke premis perniagaannya dua minggu lalu.
Katanya, berdasarkan maklum balas penduduk setempat, kecurian itu berkemungkinan berlaku pada Sabtu lalu apabila ternampak kesemua barangan dipunggah masuk ke dalam sebuah lori berwarna merah.