Pengusaha rayu pusat tahfiz dibenar beroperasi - Utusan Malaysia

Pengusaha rayu pusat tahfiz dibenar beroperasi

MOHD. KHAIRULNIZAM ABD. GHANI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengusaha pusat tahfiz merayu Kerajaan Persekutuan atau negeri supaya membenarkan institusi itu  beroperasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memastikan kelangsungan operasi mereka.

Rayuan itu dibuat susulan saban hari semakin ramai pelajar yang berhenti atau meninggalkan pembelajaran mereka apabila dilaksanakan secara dalam talian dan bimbang mereka ketinggalan dalam pembelajaran.

Malah, terdapat ibu bapa turut menanti pembukaan semula pusat tahfiz supaya anak mereka dapat kembali fokus kepada pembelajaran seperti biasa kerana kebanyakannya dilihat tidak menunjukkan minat untuk belajar secara dalam talian.

Perkara itu dimaklumkan Pengetua Madrasah Tahfiz Al-Quran Ar-Rasyid di Klang, Selangor, Mohd. Khairulnizam Abd. Ghani yang memberitahu, pembukaan semula pusat tahfiz khususnya berasrama penuh boleh menggunakan konsep gelembung pendidikan.

Beliau berkata, sebelum pelajar dan guru kembali ke pusat tahfiz dengan menggunakan kaedah gelembung pendidikan, mereka perlu menjalani ujian saringan dan mematuhi SOP yang ketat sebelum kembali ke asrama.

“Memang menjadi kebiasaan apabila pelajar yang tinggal di asrama, sememangnya kita tidak benarkan mereka keluar. Mereka tinggal di dalam dan dapat fokus kepada pembelajaran, jadi saya yakin suasana itu selamat untuk mereka.

“Pembukaan semula ini penting kerana ada pusat tahfiz seperti kami yang turut menjaga anak yatim. Apabila pusat tahfiz dibuka, ibu bapa akan kembali membayar yuran seperti biasa dan dapat menampung kos operasi yang mencecah RM30,000 hingga RM35,000 sebulan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Mohd. Khairulnizam menambah, sejak pusat tahfiz tidak dibenarkan beroperasi, daripada 160 pelajar dimilikinya sebelum pandemik kini hanya tinggal 120 orang, namun yang membayar yuran kurang daripada 80 orang sementara 40 lagi tidak dapat dihubungi dan tidak hadir kelas dalam talian.

“Disebabkan hal itu, kita buat macam-macam cara termasuk buat perniagaan jual kurma, minyak wangi, kelas mengaji tambahan dan menulis buku untuk memastikan gaji guru dan kebajikan anak yatim dapat ditunaikan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengetua Darul Tahfiz Ummul Qura, Muhd. Wildan Abd. Rasul memaklumkan turut melakukan hal yang sama bagi memastikan seramai 16 termasuk kakitangan dan guru dapat dikekalkan walaupun pelajar semakin berkurang dan lebih separuh tidak membayar yuran.

“Ketika itu kita menghadapi masalah untuk bayar gaji guru, ibu bapa pula ada yang mula tak bayar yuran dan ia berlanjutan sampai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini. Bagaimanapun, Alhamdulillah penjualan kurma dapat sambutan dan boleh menampung gaji guru. Mula-mula dapat tampung sewa bangunan sahaja, kemudian kami bersyukur pemilik bangunan mengurangkan separuh bayaran sewa.

“Kemudian ada satu lagi kumpulan terdiri daripada generasi muda yang mahir dalam pengiklanan di Facebook, jadi mereka bantu kami iklankan (sumbangan awam), dapat jugalah menampung lebih 50 peratus yuran yang tak dibayar,” katanya.

Beliau menambah, soal yuran pusat tahfiz tidak boleh mendesak ibu bapa kerana dalam situasi pandemik semua orang terkesan, tetapi dalam masa sama mahu memastikan pusat tahfiz, kebajikan kakitangan dan pelajar dapat dijaga. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN