KUALA LUMPUR: Penglibatan tiga wakil Beijing Urban Construction Group (BUCG) dalam tiga mesyuarat awal Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi membincangkan projek terowong dasar laut di negeri itu, telah menimbulkan konflik kepentingan dengan syarikat-syarikat pembida yang lain.
Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, mereka ialah bekas Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) yang merupakan syarikat usahasama dengan BUCG, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli, Lee Chee Hoe dan Ee Chin Fatt.
Muhamad Azrai Mohamad Zaini, 39, berkata, kehadiran mereka dalam mesyuarat pada 2011 itu memberikan kelebihan kepada syarikat dari China itu mengetahui lebih awal setiap butiran dalam `Request For Proposal’ (RFP) sebelum dokumen tersebut diiklankan oleh kerajaan negeri.
Ujar saksi pendakwaan keempat itu, antara butiran tersebut termasuk skop kerja setiap projek, anggaran kos, kelayakan yang ditetapkan terhadap pembida tender, syarat-syarat teknikal dan kewangan serta pulangan kepada pembida dalam pelaksanaan projek.
Beliau yang sebelum ini berjawatan Penolong Pengarah Kanan (Kerja Raya, Utiliti & Pengangkutan) di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Pulau Pinang turut terlibat dalam mesyurat itu selaku Urusetia Jawatankuasa Teknikal dan Kewangan bagi memilih pembida-pembida projek-projek infrastuktur di negeri itu.
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Lim Guan Eng, 60, yang didakwa terhadap tuduhan pindaan menerima suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek bernilai RM6.3 bilion.
Tertuduh didakwa menggunakan kedudukan beliau semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.
Muhamad Azrai menyatakan, oleh kerana projek itu telah diputuskan untuk ditawarkan sebagai tender terbuka, pada pendapatnya BUCG tidak sepatutnya terlibat dalam mesyuarat atau perbincangan bagi penyediaan dokumen RFP.
Saksi yang kini Setiausaha Sulit Kanan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, BUCG tidak wajar terlibat pada peringkat awal penyediaan RFP sebelum tender terbuka diiklankan kerana ia mendapat kelebihan berbanding dengan syarikat-syarikat lain yang turut berminat menyertai tender terbuka.
Pada sesi pemeriksaan utama, saksi turut menyatakan, sebelum projek itu diberi kepada CZBUCG, terdapat beberapa syarikat mega antarabangsa lain termasuk dari Korea dan Jepun yang turut bersaing bagi mendapatkan tender tersebut.
Saksi berkata, dokumen RFP dikeluarkan oleh kerajaan negeri pada Julai 2012, iaitu setahun selepas tempoh mesyuarat diadakan.
Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mengapa beliau tidak memaklumkan kepada pegawai-pegawai atasannya berhubung penglibatan awal BUCG dalam penyediaan RFP, saksi berkata ketika itu beliau baru berkhidmat dan kurang pengalaman serta beranggapan perkara itu sudah diketahui mereka.
Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng, saksi bersetuju bahawa mesyuarat itu dikendalikan oleh
Exco dan tidak melibatkan tertuduh.
Muhamad Azrai turut bersetuju dengan cadangan peguam bela bahawa kehadiran wakil BUCG dalam mesyuarat itu bukan satu masalah kerana ia susulan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Putrajaya pada 28 April 2011 di antara kerajaan negeri dan syarikat tersebut.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 10 September ini.
Bagi tuduhan tuduhan pindaan menggunakan kedudukan selaku Ketua Menteri, beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Selain itu, beliau turut didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini.
Beliau didakwa mengikut di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.
Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.
Guan Eng juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.
Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.
Pendakwaan terhadap Lim dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE