Penghayatan erti kemerdekaan perlu diperluas - Utusan Malaysia

Penghayatan erti kemerdekaan perlu diperluas

LEE LAM THYE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk memberi kefahaman dan penghayatan tentang erti kemerdekaan khususnya kepada golongan muda.

Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penghayatan tentang erti kemerdekaan sebenar mampu menjadi tenaga perpaduan yang boleh membawa rakyat berbilang kaum bersatu padu ke arah satu matlamat.

“Kajian yang dijalankan oleh akhbar tempatan tidak lama dahulu menunjukkan bahawa walaupun kebanyakan anak-anak muda kita mempunyai semangat patriotik, mereka masih tidak memahami dan menghayati sepenuhnya erti sebenar kemerdekaan.

“Bagi mereka, Hari Kemerdekaan hanya  satu lagi cuti am, hari di mana mereka berpeluang bersantai dan beriadah. Hanya segelintir  yang benar-benar memahami maksud Hari Kemerdekaan ini. Lebih banyak usaha harus diambil untuk menerang dan menjadikan mereka lebih peka dan menghargai serta menghayati erti sebenar hari kemerdekaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Lam Thye, mengibar Jalur Gemilang bukanlah satu-satunya cara menunjukkan semangat patriotik kepada negara.

Katanya, rakyat Malaysia boleh memaparkan semangat patriotik dalam kehidupan seharian seumpamanya dalam pemikiran, percakapan dan tindakan mereka membela serta mempertahan kepentingan negara.

“Rakyat Malaysia juga boleh mempamerkan semangat patriotik dengan menyumbang pandangan dan pendapat  dalam apa yang mereka rasakan baik serta sihat untuk negara.

“Menyatakan perasaan melalui saluran yang betul adalah satu hak yang seharusnya diamalkan oleh semua rakyat Malaysia yang patriotik, yang cintakan kepada negara dan inginkan yang terbaik untuk negara,” ujarnya.

Meskipun negara kini dilanda pandemik Covid-19, namun beliau yakin yang ia tidak merencatkan sambutan Hari Kemerdekaan.

Katanya lagi, ketika negara merayakan 64 tahun kemerdekaan, sesuailah masanya untuk seluruh rakyat menunjukkan semangat patriotisme dan cinta kepada negara dengan perasaan penuh bangga.

“Salah satu cara untuk menjadikan generasi muda kita patriotik dan bersemangat nasionalisme adalah dengan mendidik mereka menghormati dan mencintai bendera. Menganjurkan kempen ‘Cintakan Bendera Kita’ di sekolah-sekolah, dalam kalangan anak-anak muda mustahak bagi memberikan mereka kefahaman tentang kepentingan bendera kebangsaan dan maksud di sebaliknya. Ini tidak seharusnya diadakan hanya bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan, malah sepanjang tahun.

“Bagi generasi tua, Hari Kemerdekaan membawa ingatan kegigihan dan perjuangan menentang zaman penjajah dalam usaha mencapai kemerdekaan. Bagi mereka, ia melambangkan pengorbanan serta kebanggaan dengan apa yang dicapai selama ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya