Penghantar makanan didenda RM1,800 tendang kepala pekerja kedai serbaneka - Utusan Malaysia

Penghantar makanan didenda RM1,800 tendang kepala pekerja kedai serbaneka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Seorang penghantar makanan yang tular di laman sosial kerana menendang pekerja sebuah kedai serbaneka dua minggu lalu, didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadapnya.

Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Ehsaan Roslan, 23, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.

Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara selama empat bulan dan tertuduh menjelaskannya.

Mengikut pertuduhan, Ehsaan didakwa sengaja menyebabkan cedera terhadap Muhammad Amirul Saliman, 21, di hadapan sebuah kedai serbaneka, Taman Perwira, Gombak di sini pukul 1.30 petang pada 6 Ogos lalu.

Justeru, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan dia baru mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa.

Mengikut fakta kes, mangsa yang sedang berehat di hadapan tempat kerjanya (kedai serbaneka tersebut) memanggil seorang wanita supaya berteduh di tempat redup selepas melihat wanita itu berdiri di tengah panas.

Bagaimanapun secara tiba-tiba, tertuduh telah datang ke arah mangsa lalu memarahinya kerana dikatakan mengganggu wanita itu yang juga teman wanita tertuduh (kini isterinya).

Tertuduh kemudian bertindak menyepak kepala mangsa sehingga mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya