Penggali kubur dinobat Anugerah Tokoh Frontliner Ma'al Hijrah - Utusan Malaysia

Penggali kubur dinobat Anugerah Tokoh Frontliner Ma’al Hijrah

ROSLEE Ali ketika bertugas menyediakan liang lahad untuk pengebumian jenazah Covid-19. - IHSAN JAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Penggali kubur, Roslee Ali, 63, dipilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Tokoh Frontliner pada sambutan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443H, hari ini.

Pengumuman itu dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menerusi kenyataan akhbar dengan memaklumkan kategori anugerah berkenaan adalah pertama kali diperkenalkan pada sambutan Ma’al Hijrah.

Jawi memaklumkan, Roslee berkhidmat sebagai penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak Taman Selaseh sejak tahun 2011.

“Dia (Roslee) terlibat di dalam urusan pengebumian jenazah Covid-19 sejak pandemik mula melanda negara serta pernah menyediakan sekitar 40 liang lahad dalam sehari,” katanya.

Katanya, panel pemilihan juga memilih Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, Dr. Ismuni Bohari sebagai seorang lagi penerima Anugerah Tokoh Frontliner.

Dalam pada itu, Jawi berkata, penerima Anugerah Tokoh Korporat diberikan kepada Pengarah Urusan Ramly Food Processing Sdn. Bhd, Datuk Ramly Mokni, manakala Anugerah Tokoh Pendakwah Kreatif pula diberikan kepada Pengacara dan Personaliti TV, Ahmad Fedtri Yahya.

Selain itu, penerima Anugerah Tokoh Mualaf diberikan kepada Nur Maisarah Leong Yoke Keen iaitu Pembantu Mubaligh di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sementara itu, katanya, penerima bagi Anugerah Tokoh Utama Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan tahun 1443H dianugerahkan kepada Mejar Jeneral Datuk Kamarudin Mamat (B) iaitu Bekas Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat).

Pengumuman Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443H itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pemilihan semua tokoh dibuat selepas mengambil kira sumbangan individu dalam bidang masing-masing ke arah memperkukuhkan syiar dan syariat Islam di negara ini.

Ia termasuk sumbangan mereka khususnya di Wilayah Persekutuan berdasarkan beberapa kriteria termasuk daya kepimpinan dan teladan, sumbangan kepada masyarakat serta sumbangan kepada organisasi dan sumbangan peringkat negeri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya