Pengedar dadah ditahan, bekalan disembunyikan di sekitar kawasan luar rumah - Utusan Malaysia

Pengedar dadah ditahan, bekalan disembunyikan di sekitar kawasan luar rumah

SEBAHAGIAN daripada dadah jenis heroin dan syabu serta wang tunai yang dirampas dalam satu serbuan di Kampung Kuala Reman, Sik kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dalam satu serbuan di Kampung Kuala Reman, Sik dekat sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Taufik Maidin berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada pukul 6 petang.

“Hasil pemeriksaan ke atas kawasan rumah suspek menemukan satu bungkusan plastik warna hitam yang di dalamnya terdapat dua bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan putih disyaki dadah jenis heroin.

“Bungkusan berkenaan ditemukan di dalam semak dengan anggaran berat 903.10 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Taufik berkata, suspek turut menunjukkan beberapa lokasi bekalan dadah yang disembunyikan di sekitar kawasan luar rumah tersebut.

“Satu bungkusan plastik warna hitam di dalamnya terdapat tujuh peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 179.61 gram dan enam bungkusan plastik berisi ketulan warna putih disyaki dadah jenis heroin seberat 2,486.2 gram turut ditemui,” katanya.

Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dadah ialah RM62,961 dan hasil pemeriksaan ujian saringan air kencing suspek didapati negatif.

“Harta suspek seperti sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ dan jenis Kawasaki KR150-K masing-masing bernilai RM7,500 dan RM9,800 serta wang tunai RM20,000 dengan nilai keseluruhan RM37,300 turut disita,” katanya.

Menurutnya, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pihak polis mengalu-alukan maklumat dari orang awam bagi memastikan aktiviti pengedaran dadah berbahaya dapat terus ditumpaskan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya