LARUT: Seorang lelaki patah kaki manakala rakannya tidak mengalami kecederaan selepas dihanyutkan arus deras ketika bermotosikal melalui jalan yang dinaiki air di Jalan Lampin, Selama, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintenden Sabri Saad berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.40 petang menyebabkan Mohd. Razali Mat Nazri, 44, patah kaki manakala rakannya, Zakaria Ishak, 59, tidak mengalami kecederaan.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika kedua-dua mereka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan menaiki motosikal secara berasingan untuk ke tempat kerja.
“Mohd. Razali dari Bagan Baharu, Ijok, Batu Kurau manakala Zakaria dari Felda Ijok, Selama masing-masing bermotosikal dalam perjalanan ke tempat kerja di Hospital Selama.
“Apabila sampai di kawasan yang dinaiki air berikutan hujan lebat, mereka cuba melalui jalan yang dinaiki air, menyebabkan kedua-duanya terjatuh dari motosikal lalu dihanyutkan arus deras hingga ke pembahagi jalan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan Mohd. Razali patah kaki kanan dan luka manakala Mat Nazri tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kedua -dua mangsa diselamatkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Selama untuk rawatan,” katanya. – UTUSAN