Pengasas Rumah Bonda didakwa abai kanak-kanak sindrom down - Utusan Malaysia

Pengasas Rumah Bonda didakwa abai kanak-kanak sindrom down

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan sindrom down sehingga mengalami kecederaan, dua bulan lalu.

Menurut pertuduhan, Siti Bainun, 29, sebagai orang yang dipertanggungjawab menjaga kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun itu, didakwa telah mengabaikannya sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Seksyen 10, Wangsa Maju di sini antara  Februari sehingga Jun lalu.

Wanita tersebut didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan alasan kes melibatkan kepentingan awam dan mendapat perhatian media.

“Dalam kes ini, mangsa merupakan orang kurang upaya (OKU) selain pihak pendakwaan turut memohon tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor memohon mahkamah memberi jaminan yang rendah kerana anak guamnya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan selain berjanji tidak akan gagal hadir ke mahkamah pada setiap prosiding.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Izralizam Sanusi membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

“Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali selain tertuduh, pekerja atau ejen dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan,” kata hakim itu.

Tarikh 4 Oktober ini ditetapkan untuk sebutan kes.

Media sebelum ini melaporkan penahanan pemilik Rumah Bonda susulan pendedahan berhubung penderaan melibatkan seorang remaja yang merupakan OKU.

Remaja sindrom down itu melecur di beberapa anggota badan disyaki akibat didera oleh penjaganya di sebuah premis yang dipercayai menjadi pusat jagaan kanak-kanak OKU di Wangsa Maju. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya