KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas bapanya yang berusia 68 tahun sehingga retak tulang rusuk, minggu lalu.
Muhammad Syafiq Syazwan Ab. Rahman, 26, didakwa dengan sengaja melakukan perbuatan tersebut ke atas Ab. Rahman Mohmad Amin di kediaman mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Pantai Dalam, Brickfields di sini, pada 3 petang, 25 Ogos lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan kes tersebut adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, peguam Mohamad Zaidi Othman yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya kini tidak bekerja.
Majistret Mohamad Fared Abdul Latif membenarkan Muhammad Syafiq Syazwan diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan kediaman setiap lima haribulan dan dilarang mengganggu mangsa.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Oktober ini untuk sebutan kes.