SHAH ALAM: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas lima pertuduhan memiliki pelbagai jenis dadah seberat 214.73 gram pada 13 dan 14 Ogos lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohamad Hafiz Roslan, 28, sebaik sahaja kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.
Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Hafiz didakwa mengedar dan memiliki dadah jenis syabu seberat 67.57 gram (g) di tempat letak kereta di Jalan Setia Utama ASU13/AS, Setia Alam pada pukul 7.20 malam, 13 Ogos lalu.
Dia juga didakwa mengedar dadah jenis syabu seberat 145g di sebuah pangsapuri di Subang Jaya pada pukul 12.30 malam, 14 Ogos lepas.
Tertuduh juga didakwa memiliki dadah jenis ganja dan Nimetazepam masing-masing seberat 1.17g dan 0.99g di lokasi, masa dan tarikh sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta sama.
Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, dia boleh dikenakan 15 kali sebatan.
Bagi kesalahan memiliki dadah, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) Akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 6 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda RM20,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Amirah Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam bela, Shalehhuddin Salam dan Muhd. Fairul Ezany.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan kes ditetapkan untuk sebutan pada 12 November ini. – UTUSAN ONLINE