Penduduk runsing mandikan jenazah positif Covid-19 - Utusan Malaysia

Penduduk runsing mandikan jenazah positif Covid-19

ANGGOTA polis yang hadir ke kediaman Allahyarhamah untuk mendapatkan maklumat lanjut dari keluarga sebelum jenazah dibawa ke HKT bagi menjalani ujian calitan Covid-19 di Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Lebih 20 penduduk di Bandar Sri Perani, di sini berada dalam keadaan resah dan khuatir dijangkiti Covid-19 selepas mereka tanpa sedar telah memandi dan mengkafankan jenazah penduduk yang disahkan positif pandemik berkenaan, semalam.

Seorang penduduk, Isa Din Pon, 57, berkata, kejadian tersebut bermula selepas jenazah wanita itu diperiksa pasukan kesihatan yang datang menaiki ambulans dan mengesahkan Allahyarham meninggal dunia pada waktu subuh.

Katanya, sebagai seorang bilal dia telah dimaklumkan oleh jiran-jiran berhampiran rumah Allahyarham agar menghebahkan kematian itu di masjid.

“Masa itu saya bertanya aoakah arwah meninggal sebab Covid-19 atau tidak, mereka maklumkan pasukan kesihatan hanya mengesahkan arwah meninggal sebab biasa sahaja bukan Covid-19.

“Selepas Subuh saya sempat ke rumah arwah untuk bertanya tentang hal kebumi dan membantu persiapan yang patut.

“Kemudian saya ke tempat kerja, kira-kira pukul 9 pagi saya hendak maklumkan kepada tuan rumah jenazah sudah boleh dikebumikan namun sebaik sahaja sampai, saya dapati terdapat kenderaan polis di rumahnya,” katanya.

Isa berkata, kehadiran pihak polis bertujuan  membawa jenazah ke hospital kerana Allahyarham meninggal dunia dalam keadaan tidak mempunyai rekod penyakit.

Jelasnya jenazah yang sudah sempurna dikafankan itu kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) sebelum mendapati hasil ujian calitan adalah positif.

“Masa itu saya ikut sekali ke hospital bersama ahli keluarga, apabila dimaklumkan seperti itu kami amat terkejut.

“Sudah tentu kami kecewa kerana perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Kami memang tahu prosedur kematian sekarang, namun memandangkan pada awalnya sudah dapat pengesahan dari pihak perubatan maka kami hanya ikut sahaja.

“Kini pihak hospital sudah mengambil nama-nama kontak rapat termasuk ahli keluarga dan jiran-jiran yang membantu untuk urusan berkaitan jenazah untuk dipanggil menjalani ujian calitan,” katanya.

Tambahnya, jenazah Allahyarham kemudian dikebumikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti pesakit Covid-19 kira-kira pukul 4 petang, semalam.

Isa yang bekerja sebagai penyelia ladang bersama penduduk lain kini turut menjalani kuarantin kendiri di rumah kerana bimbang sekiranya didapati positif wabak itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora ketika dihubungi mengesahkan polis mengambil jenazah tersebut di Bandar Sri Perani untuk dibawa ke HKT bagi tujuan calitan sebelum disahkan positif Covid-19. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya