SUNGAI PETANI: Seorang wanita warga emas yang juga peminta sedekah ditemukan mati di hadapan sebuah bank di Lagenda Height, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu, mangsa berusia 63 tahun ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan tertiarap oleh seorang kakitangan bank di situ.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah memberitahu, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 8.15 pagi.
“Siasatan awal mendapati seorang wanita telah meninggal dunia dalam keadaan tertiarap di kawasan hadapan berhampiran pintu masuk bank.
“Pada awalnya, kakitangan bank melihat mangsa dalam keadaan tidak bermaya dan duduk di hadapan pintu masuk kiosk ATM sebelum dia secara tiba-tiba jatuh tertiarap,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kakitangan bank memaklumkan bahawa mangsa sering berada di kaki lima berhadapan bank itu untuk meminta sedekah seawal pukul 9 pagi setiap hari.
Ujarnya, siasatan lanjut ke atas badan mangsa dan tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah.
“Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk dibuat ujian Covid-19 sebelum proses bedah siasat selain proses sanitasi turut dilakukan di tempat kejadian,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya juga dimaklumkan mangsa telah menerima lengkap dua dos suntikan vaksin. – UTUSAN ONLINE