Pemerdagangan manusia: Pelawak tidak didakwa  - Utusan Malaysia

Pemerdagangan manusia: Pelawak tidak didakwa 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Dua individu dipercayai terbabit dalam kes pemerdagangan manusia yang  dibongkar polis 1 Ogos lalu, akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah, esok.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, dua individu terbabit masing-masing seorang lelaki dan wanita.

Bagaimanapun, jelas beliau, seorang pelawak yang dikatakan terlibat dalam kes berkenaan sebelum ini tidak dihadapkan ke mahkamah.

Kata beliau, penahanan pelawak tersebut sebelum ini hanya bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Pelawak berkenaan hanya membantu siasatan dan menjadi saksi kes sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Utusan Online pada 3 Ogos lalu melaporkan, seorang pelawak berusia 40-an ditahan bagi membantu siasatan kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah dalam serbuan Op Pintas.

Dalam operasi berkenaan, polis turut menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau di sebuah bilik hotel di daerah yang sama dan kini wanita berkenaan mendapat perintah perlindungan sementara serta ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pelawak berkenaan turut dikenakan kompaun atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan). – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN