PONTIAN: Kekangan peranti dan masalah talian internet ketika mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bukan sahaja memberi kesan pembelajaran di sekolah harian biasa, tetapi ia turut menimpa pelajar-pelajar tahfiz di sesetengah lokasi.
Malah, perkara itu merencatkan proses menghafal 30 juzuk al-Quran dalam kalangan mereka yang sepatutnya boleh dikuasai lebih awal melalui pembelajaran bersemuka.
Berkongsi situasi itu dengan Utusan Malaysia, Pengetua Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Hassan (MTQH), Abdul Jalil Arabie Abdullah Arabie berkata, pengajian al-Quran menggunakan kaedah online juga berhadapan masalah khususnya talian internet yang terbatas bagi sesetengah pelajar.
“Kalau mengikut pengajian al-Quran bersemuka, seorang pelajar di tahap sederhana boleh tamat pengajian selama tiga tahun dan menghafal 30 juzuk, namun dalam keadaan seperti ini, mungkin mengambil masa lima tahun.
“Seperti mana persekolahan biasa, pengajian di madrasah juga berhadapan dengan masalah sama disebabkan pelajar tidak dapat hadir ke madrasah dan kini bersama keluarga masing-masing,” jelasnya.
Akhbar ini melaporkan, kira-kira 140 pusat tahfiz di seluruh negara ‘gulung tikar’ atau menutup operasi kerana tidak mampu menampung kos pengurusan kesan pandemik Covid-19 yang menular sejak setahun lalu.
Malah di negeri ini, Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (Pinta) Johor yang mendedahkan hasil dapatan kaji selidik mereka mendapati, kira-kira 12.8 peratus madrasah hanya mampu bertahan sebulan sahaja lagi setelah pendapatan mereka terjejas dan 25.6 peratus lagi menjangkakan dapat bertahan dalam tempoh dua bulan.
Sementara itu, Abdul Jalil turut mengakui MTQH yang telah beroperasi pada tahun 2010 bermula di Kampung Melayu Pontian Besar itu juga hanya berupaya membayar gaji kakitangan seramai 12 orang bagi tempoh dua hingga tiga bulan ini yang berjumlah RM14,400 sebulan.
Malah, lebih memeritkan madrasah itu memang tidak pernah mengenakan sebarang bayaran kepada 80 pelajarnya dan semua kos pengurusan termasuk makanan dan minum adalah hasil sumbangan orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai pihak.
“Untuk dua tiga bulan ini kami masih lagi mampu untuk membayar gaji kakitangan termasuk enam ustaz, tiga ustazah, seorang warden, seorang tukang masak dan seorang mudir tetapi tidak tahu bulan seterusnya jika arahan tidak dibenarkan beroperasi ini dilanjutkan,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Pinta Johor, Mohd. Arifi Mat Husin berkata, pihaknya pernah mencadangkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) agar peruntukan baik pulih dapat ditukar kepada peruntukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Buat masa ini, peruntukan tersebut tidak boleh digunakan untuk tujuan lain dan kami mohon sekiranya ia dapat dilonggarkan agar madrasah-madrasah boleh gunakan dana terbabit untuk menampung kos operasi yang semakin terjejas,” katanya.
Tambah beliau, Pinta Johor kini mengambil pendekatan dengan menyerahkan kepada ahli-ahli untuk melihat situasi mengikut keperluan madrasah masing-masing. Misalnya, ada madrasah yang mengambil separuh atau 70 peratus yuran bergantung keadaan di sekolah masing-masing.
“Tetapi Pinta Johor pada masa sama tetap membantu guru-guru yang mungkin terjejas dari segi pendapatan dengan menyalurkan makanan agar sekurang-kurangnya kalau tidak dapat gaji pun tetapi kehidupan mereka tidak sampai terjejas teruk,” katanya.
Katanya, bagi madrasah yang sudah lama beroperasi dan mempunyai sistem kewangan yang baik mungkin boleh menghadapi situasi itu walaupun terpaksa bergelut, tetapi bagi pusat tahfiz yang memang bergantung harap kepada yuran bulanan pelajar akan berdepan masalah yang lebih serius. – UTUSAN ONLINE