GEORGETOWN: Seorang pegawai kanan Jabatan Kejuruteraan di sebuah majlis perbandaran di Kedah dan seorang kontraktor direman lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan jumlah RM200,000, dua tahun lalu.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Nur Fardrina Zulkhairi membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu bermula semalam hingga 14 Ogos ini.
Kedua-dua suspek lelaki masing-masing berusia 41 dan 48 itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang di sini, kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Menurut sumber SPRM, pegawai kanan berusia 41 tahun itu dipercayai menyalahgunakan kuasanya bagi mencadangkan syarikat milik bapanya memperoleh projek yang dikeluarkan kerajaan pada 2019.
Katanya, suspek dikatakan membuat cadangan itu kepada Lembaga Perolehan Negeri Kedah membabitkan projek kerja menurap dan menyelenggara jalan di sebuah daerah di negeri ini.
Jelasnya, kontraktor lelaki berusia 48 tahun itu pula dipercayai turut mempunyai kaitan dalam kes tersebut.
Kedua-dua tertuduh yang tiba di mahkamah kira-kira pukul 10 pagi ini dengan memakai baju SPRM diwakili peguam Parmjit Singh.
Difahamkan SPRM akan memanggil beberapa orang saksi untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – UTUSAN ONLINE