SHAH ALAM: Seorang pegawai imigresen dijatuhi hukuman denda RM30,000 dan penjara dua hari selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan pilihan gagal melaporkan kes rasuah berjumlah RM1,000 pada November 2017 dan Januari 2018.
Hakim Rozilah Salleh memutuskan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Khairunazim Abd. Rahman, 31, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa.
Rozilah mengarahkan hukuman penjara masing-masing sehari terhadap setiap pertuduhan berjalan serentak bermula hari ini.
Mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda RM30,000 tersebut.
Berdasarkan pertuduhan pilihan pertama dan kedua, tertuduh yang merupakan pegawai imigresen Gred KP19 didakwa telah diberikan wang tunai masing-masing sebanyak RM200 dan RM800 oleh Yusrazif Wan Yusoh yang bertindak sebagai orang tengah bagi melepaskan warga China dari sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Kesalahan itu didakwa dilakukan masing-masing di Pusat Operasi, Bahagian Kawalan Keselamatan, Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada November 2017 dan di tempat letak kereta pada 10 Januari 2018.
Dia didakwa melanggar peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada pihak SPRM.
Dia didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) Akta yang sama, jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengaku telah melepaskan warga asing keluar dan masuk ke negara ini tanpa melakukan pemeriksaan yang menyeluruh atas permintaan Yusrazif.
Hasil daripada melepaskan warga asing, tertuduh mengaku Yusrazif telah memberikan rasuah lebih kurang RM1,000 hasil melepaskan warga asing yang melalui kaunter tempatnya bertugas.
Pada 16 November 2020 di Pejabat Imigresen (Operasi) KLIA 2, tertuduh ditangkap dan hasil penggeledahan di rumahnya telah menemui wang tunai berjumlah RM10,000 dan mata wang asing Turkish Lira TRY10,000.
Tertuduh juga mengaku membeli kenderaan pikap jenis Mitsubishi Triton dengan nombor pendaftaran WWG 1638.
Sementara itu, dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman denda yang paling minimum memandangkan ia merupakan kesalahan pertama dilakukan sejak mula berkhidmat pada 16 Februari 2014.
Rozilah sebelum menjatuhkan hukuman menasihatkan tertuduh supaya bersyukur apabila ditangkap dan dituduh di mahkamah.
“Saya nasihatkan kamu bertaubat, saya harap hukuman ini menjadi kifarah dan kamu betul-betul insaf, minta ampun pada Allah.
“Nasib baik kamu ditangkap. Kamu kata ini kesalahan pertama atau adakah ini kali pertama kamu ditangkap? Kamu patut bersyukur supaya kamu tidak anggap ini (terima rasuah) nikmat,” katanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Fadhli Ab. Wahab manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Tertuduh membayar denda tersebut. – UTUSAN ONLINE