SHAH ALAM : Seorang Pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijatuhi hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah gagal melaporkan kesalahan tawaran rasuah berjumlah RM25,000, empat tahun lalu.
Hakim Rozilah Salleh memutuskan hukuman itu selepas tertuduh, Noor Azma Azmin, 39, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pindaan pilihan yang dikenakan ke atasnya.
Jika gagal membayar denda terbabit, Noor Azma diarah untuk menjalani hukuman penjara selama tiga bulan.
Dalam penghakimannya, Rozilah berkata, kesalahan dilakukan pegawai imigresen gred KP19 itu merupakan satu kesalahan sangat serius dan jika tertuduh berintegriti dan melaksanakan tugas dengan rasa tanggungjawab, dia boleh mencegah perkara terbabit.
“Kamu melepaskan 80 warga asing, bukan satu orang. Saya harap apa-apa hukuman ini dapat menimbulkan rasa keinsafan pada kamu dan jangan ulangi lagi bukan sahaja kesalahan ini tetapi apa-apa kesalahan jenayah rasuah yang lain.
“Jika kamu mengambil rasuah dan kalau ada anak-anak yang bergantung pada kamu, ia akan menjadi darah daging kalau kita beri mereka makan dengan duit rasuah itu,” katanya.
Terdahulu, Noor Azma yang merupakan ibu kepada tiga cahaya mata berusia antara empat bulan hingga lima tahun mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan pilihan.
Dia didakwa telah ditawarkan suapan berjumlah RM25,000 secara tunai daripada Norafzadina Mohd. Zainul sebagai upah membantu melepaskan warganegara China dan Pakistan dari sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 yang mana dia telah melanggar peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan tawaran suapan kepada pihak SPRM atau pegawai polis yang paling hampir.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bangunan Terminal KLIA, Sepang pada tahun 2017.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali mengikut peruntukan Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) Akta yang sama.
Berdasarkan fakta kes, Noor Azma yang berpendapatan RM2,500 sebulan dan dikenakan perintah tahanan kerja bermula Mei lalu telah ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan masuk dan keluar penumpang mengikut proses kerja yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen di kaunter pemeriksaan imigresen di KLIA.
Pada sekitar tahun 2017, Norafzadina iaitu Pegawai Imigresen Gred KP19 yang bertugas di Bahagian Integriti Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya telah menghubungi tertuduh untuk meminta bantuan melancarkan proses kemasukan warga asing dari China dan Pakistan yang telah menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial di Pintu Masuk KLIA.
Untuk tujuan tersebut, Norafzadina telah menawarkan rasuah sebanyak RM25,000 secara tunai kepada tertuduh di sekitar Bangunan Terminal, pada tahun 2017.
Bagaimanapun, tertuduh tidak pernah melaporkan kepada pegawai SPRM atau pegawai polis yang berhampiran berkenaan kejadian dia telah ditawarkan suapan daripada Norafzadina untuk melepaskan lebih kurang 80 warga China dan Pakistan yang menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd. Afif Mohd. Ali manakala tertuduh diwakili peguam bela, Norliana Ali Othman. – UTUSAN ONLINE
HABIS