PUTRAJAYA: Orang Muslim di Malaysia dituntut menyubur dan mengekalkan semangat patriotisme dalam mempertahan maruah negara apatah lagi jika ia negara umat Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tuntutan itu juga sejajar dengan falsafah Maqasid Syariah yang diusahakan pihaknya.
“Percayalah, agama Islam sebenarnya menggariskan secara jelas mengenai patriotisme khasnya berkait kepentingan mempertahankan keselamatan dan maruah negara,” katanyaketika berucap melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri secara maya hari ini.
Pelbagai program turut diatur sempena sambutan bulan itu antaranya Forum Perdana dan Munajat Merdeka di TV1, bacaan Yasin, doa selamat, pertandingan, siri diskusi serta ceramah.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, menjadi kewajipan rakyat teguh memelihara kedaulatan negara ini daripada segala bentuk ancaman sama ada dari dalaman atau luaran, apatah lagi dalam dunia globalisasi dan ledakan era teknologi maklumat, semangat patriotisme penting seperti disebut madah Arab bahawa kasih akan watan itu sebahagian iman.
“Berdasarkan pemerhatian saya, semangat ini merupakan asas utama kepada kemerdekaan malah secara ringkas, nilai ini boleh difahami sebagai semangat cintai tanah air,” kata beliau. – UTUSAN ONLINE