KUALA PILAH: Bagi memudahkan golongan pendaki mengetahui arah kiblat yang tepat, seramai 20 orang pegawai daripada Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan memasang papan tanda arah kiblat di puncak Gunung Angsi, dekat sini hari ini.
Timbalan Mufti kerajaan negeri, Amran Awaludin berkata, pemasangan papan tanda arah kiblat di puncak gunung dan bukit itu merupakan julung kali diadakan pihaknya menggunakan alat Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS).
Jelasnya, program berkenaan mendapat kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri, Negeri Sembilan dan anggota sukarelawan.
“Pemasangan papan tanda arah kiblat bagi memudahkan pendaki bersolat di atas puncak berkenaan. Kami sedia maklum sejak kebenaran mendaki ini, kami tahu ramai tidak melepaskan peluang beriadah termasuk mendaki di beberapa puncak gunung yang berada di negeri ini.
“Ini merupakan siri pertama bagi memastikan pendaki yang ingin bersolat di atas puncak tidak lagi tersalah dan menggunakan arah kiblat yang betul. Di Jabatan Mufti Negeri Sembilan terdapat Bahagian Falak dan mereka akan memastikan ukuran yang sesuai sebelum menandakan arah kiblat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, program yang mendapat kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri, Negeri Sembilan dan anggota sukarelawan itu bermula seawal pukul 7 pagi tadi dan kemudian tiba di puncak Gunung Angsi dua jam kemudian.
“Sebanyak lima gunung di sekitar negeri ini terlibat dalam pemasangan papan tanda arah kiblat antaranya Gunung Berembun di Seremban, Gunung Datuk di Rembau dan Gunung Besar Hantu di Jelebu.
“Kami juga bercadang meletakkan papan tanda kiblat di bukit atau gunung lain yang turut menjadi tumpuan pendaki di negeri ini pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, jelas Amran, pihaknya sering menerima keluhan daripada pendaki yang khuatir mencari arah kiblat dengan hanya menggunakan kompas.
“Bagaimanapun, kini, kami telah meletakkan papan tanda yang kekal di puncak gunung berkenaan untuk memudahkan mereka mengetahui arah kiblat.
“Idea ini sudah dicadangkan pada awal tahun namun terdapat kekangan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Apabila aktiviti pendakian sudah kembali dibenarkan, kami terus meletakkan papan tanda arah kiblat ini,” katanya.