Paip dasar Sungai Terengganu dibaiki 10 hari lalu pecah lagi

Paip dasar Sungai Terengganu dibaiki 10 hari lalu pecah lagi

PENDUDUK mengisi air dan mandi di paip yang disediakan pihak Satu di sekitar jambatan angkat (drawbridge) di Kuala Nerus, Terengganu, baru-baru ini. - FOTO/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Paip dasar sungai Terengganu yang baharu dibaiki 10 hari lalu, pecah buat kali kedua hari ini.

Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) dalam kenyataan berkata, kerosakan berulang dikesan pada paip bersaiz 1,200 milimeter yang membekalkan air ke Tangki Berangan dari Loji Kepong.

“Hasil pemeriksaan mendapati gangguan bekalan air berlaku di paip sama tetapi lokasi yang berlainan daripada kerosakan terdahulu.

“Situasi ini menyebabkan seramai 28,700 pengguna akaun di sebahagian daerah ini dan Kuala Nerus terputus bekalan air buat kali kedua,” kata kenyataan itu.

Pagi ini, tekanan air rendah dikesan di paip dasar Sungai Terengganu sekali gus menyebabkan pengoperasian bekalan menjadi tidak stabil.

Satu berkata, kawasan yang terjejas di daerah ini ialah Buluh Gading Masjid, Buluh Gading Dewan, Kampung Banggol Tuan Muda, Petai Bubus, Paya Datu, Jeram, sebahagian Banggol Peradong, Kampung Manir, Kampung Tualang, Kampung Kebor Air dan Kampung Telok Menara.

Katanya, di Kuala Nerus pula membabitkan keseluruhan Gong Badak, kawasan perindustrian Gong Badak, Alor Jambu, Tok Jembal, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Tepoh, Padang Hangus, Pagar Ubi, Bukit Sudu, Bukit Jong, Sungai Ikan, Gemuruh, Ladang Sentosa, Padang Nenas, Lingai dan Bukit Wan.

Menurutnya, antara kawasan lain yang terlibat ialah Maras, Bukit Berangan, Batu Rakit, Alur Damak, Pagar Besi, Mengabang Telipot, Mengabang Telong dan Wakaf Tengah.

“Sehubungan itu, kita sudah menggerakkan bantuan bekalan air melalui tujuh lori tangki bermula pukul 12 tengah hari tadi ke kawasan yang terjejas mengikut jadual ditetapkan,” katanya.

Baru-baru ini, kesemua 28,700 pengguna akaun Satu di sebahagian daerah ini dan Kuala Nerus mengalami gangguan bekalan air selama 12 hari sejak 2 Ogos lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN