PAC kesal polis halang masuk Parlimen - Kah Woh  - Utusan Malaysia

PAC kesal polis halang masuk Parlimen – Kah Woh 

WONG KAH WOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kesal dengan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didakwa gagal memberi laluan selamat kepada ahlinya untuk meneruskan prosiding bersama Kementerian Kesihatan, di Parlimen, pukul 10.30 pagi tadi. 

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, beliau telah memaklumkan kepada polis yang bertugas di sekatan jalan raya mengenai peranannya dalam jawatankuasa khas Parlimen supaya diberikan lalu namun tidak dibenarkan. 

Justeru, kata Ahli Parlimen Ipoh Timur dari DAP itu, situasi sama berlaku terhadap beberapa ahli PAC walaupun mereka mempunyai surat panggilan mesyuarat yang ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat mengenai prosiding pada hari ini. 

“Kehadiran kami di bangunan Parlimen adalah bertujuan untuk menghadiri prosiding PAC dan surat panggilan mesyuarat berkenaan adalah bukti jelas dan nyata kepada pihak polis. 

“Pihak polis turut mengugut untuk menahan saya sekiranya saya tidak beredar dari tempat sekatan jalan raya dalam tempoh dua minit. Walaupun pada akhirnya ahli-ahli PAC diberikan laluan setelah campur tangan daripada Pengurusan Parlimen, ini satu ancaman terhadap peranan kami selaku PAC. 

“Ia adalah bertentangan dengan usul yang memerintah Ketua Polis Negara menjaga laluan masuk dan keluar untuk ahli-ahli Parlimen ke mesyuarat di Parlimen pada setiap pembukaan penggal serta menyalahi Seksyen 124 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Pagi tadi, ahli-ahli Parlimen pembangkang dari PKR, DAP, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Penaja Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Amanah Negara (Amanah) dan UPKO berkumpul di Dataran Mereka setelah dihalang memasuki Bangunan Parlimen untuk persidangan khas terakhir di Dewan Rakyat. 

Dalam sidang media itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa PN telah tumbang ekoran beberapa ahli Parlimen PN dipercayai telah menarik sokongan kepada kerajaan manakala bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa PN secara automatik terbubar apabila mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat tidak mengikut Perlembagaan. 

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat pada hari ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan.

Penangguhan itu dibuat pada hari terakhir Dewan Rakyat bersidang secara khas selain Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berdepan tekanan untuk membentang dan membahaskan status pembatalan Ordinan Darurat.

Dalam pada itu, Kah Woh berkata, prosiding pagi tadi menyentuh soal pemerolehan vaksin Covid-19 dan penggunaannya terhadap rakyat negara ini. 

Katanya, mereka yang turut hadir ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Dr. Roshayati Rusli.

Prosiding yang dijadualkan pada pukul 10.30 pagi tadi merupakan mesyuarat keempat bersama Kementerian Kewangan diterajui Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 28 Julai 2021. 

“Prosiding tersebut berjalan dengan amat lancar dengan pematuhan prosedur operasi (SOP) kesihatan. 

“PAC akan berbincang mengenai laporannya dan akan mengemukakan rumusan serta syor kepada kerajaan mengenai isu ini sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya dalam sidang Parlimen pada Oktober nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya