PETALING JAYA: Tiga pertubuhan mewakili kepentingan pelajar Melayu dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendesak kemelut berkaitan pelantikan Naib Canselor universiti itu diselesaikan segera dengan meneruskan pelantikan Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor ke jawatan berkenaan.
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Alumni GPMS Kebangsaan dan Persatuan Alumni GPMS UiTM (PAGU) dalam satu kenyataan bersama yakin dan percaya pelantikan itu melalui proses saringan serta temuduga yang sepatutnya oleh Jawatankuasa Khas Temuduga Kenaikan Pangkat Naib Canselor UiTM.
Katanya, jawatan kuasa itu dipengerusikan Pro Canselor UiTM, Tan Sri Zarinah Sameehah Anwar mencadangkan nama-nama terbaik kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebelum pelantikan secara sah dibuat pada 2 Ogos oleh Menteri Pengajian Tinggi ketika itu, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
“Kami berpandangan surat penangguhan dikeluarkan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Prof. Datuk Dr. Husaini Omar pada 7 Ogos lalu yang memaklumkan penangguhan lantikan jawatan Naib Canselor itu sebagai tindakan tidak boleh diterima.
“Masih tiada sebarang penerangan jelas tentang alasan penangguhan dibuat. Hal itu bukan sahaja menimbulkan spekulasi campur tangan pihak tertentu malah dikhuatiri tidak dibuat mengikut peruntukan perundangan yang ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu ditulis bersama Presiden GPMS, Mohd. Alif Anas Md. Noor;
Presiden Persatuan Alumni GPMS Kebangsaan, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad dan Presiden PAGU, Mohd. Sabaruddin Daud.
Mereka berpendapat, pelantikan Roziah ketika itu sudahpun memangku jawatan Naib Canselor wajar diteruskan dengan segera agar segala perancangan dan strategi untuk memartabatkan institusi pendidikan terpenting orang Melayu itu tidak tergendala serta terbantut.
Katanya, kekosongan jawatan nombor satu di UiTM yang tertangguh lebih lima bulan itu dikhuatiri menyukarkan pengurusan pentadbiran UiTM sehingga bakal memberi kesan kepada prestasi universiti.
“Kami menggesa segala langkah yang diambil berkaitan pemilihan ini dibuat atas dasar merit individu seperti pengalaman pentadbiran dan baki tempoh dalam perkhidmatan serta kepentingan institusi secara keseluruhan tanpa sebarang campur tangan pihak-pihak luar yang berkepentingan.
“Kami berharap agar isu ini diselesaikan segera agar UiTM dapat terus menunaikan tanggungjawabnya pada tahap terbaik seterusnya mencapai matlamat penubuhan institusi keramat ini untuk memartabatkan pendidikan orang Melayu,” jelasnya.
Sebelum ini, pelantikan Roziah sebagai Naib Canselor UiTM berkuat kuasa dari 9 Ogos ini sehingga 11 Oktober 2023 ditangguhkan. – UTUSAN ONLINE