PETALING JAYA : Pengendali Selangor FC, Karsten Neitzel enggan meletakkan kesalahan 100 peratus kepada pertahanannya Ashmawi Yakin yang dilayangkan kad merah sekali gus menyaksikan rakan sepasukannya perlu bermain 10 pemain sepanjang perlawanan.
Tindakan Ashmawi melakukan terjahan dari belakang ke atas penyerang Melaka Sony Norde pada minit ke-27 memakan dirinya dan memberi kesan kepada pasukan yang terpaksa menyerap lebih banyak asakan daripada pasukan pelawat.
Red Giants terlebih dahulu di depan menerusi ledakan penyerang muda Myanmar, Hein Htet Aung pada minit ke-18 sebelum disamakan pemain tengah dari Filipina, Manuel Ott (m-90+4) untuk menamatkan aksi 1-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Neitzel, berkata dalam bola sepak tindakan yang dilakukan Ashmawi itu kadang-kala perlu bagi memastikan gawang pasukan tidak terancam.
“Kad merah itu itu jelas dan saya tidak sempat bercakap dengan Ashmawi lagi. Tetapi (tindakannya) mahu mendapatkan bola dan terpaksa melakukan terjahan itu hingga mendapatkan kad.
“Situasi berkenaan dalam bola sepak ada masanya berlaku dan perlu namun apa yang pasti kami akan kehilangan seorang lagi pemain untuk aksi berikutnya,” katanya.
Ketika ditanya mengenai jentera serangan, pengendali dari Jerman itu mengakui terdapat kelemahan daripada segi penyudah dalam perlawanan tersebut.
“Kami perlu lebih berbahaya terutama di kawasan pihak lawan tapi kami tidak dapat lakukannya. Ifedayo Omosuyi ada peluang, begitu juga dengan Danial Asri tapi ia tidak disempurnakan (jaringan),” ujarnya.
Sementara itu, buat pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan, dia berasa lega dapat membawa pulang satu mata tetapi sedikit kecewa dengan prestasi pemain yang tidak konsisten dan melakukan kesilapan mudah.
“Boleh dikatakan lebih kurang 10 gol kita lepas (dalam lapan aksi sebelum ini), boleh kata 80 peratus adalah kesilapan dan hari ini kelmarin) saya mengingatkan lagi dan ia berlaku lagi.
“Bagaimanapun kami mendapat kelebihan selepas Selangor bermain 10 orang , mereka (pemain Melaka) nampak lebih tersusun kerana kelebihan ini, cuma mereka tidak memanfaatkan peluang itu pada separuh masa pertama,” jelasnya.