SEREMBAN: Negeri Sembilan kini sudah mencapai kriteria yang ditetapkan untuk beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, perkembangan terkini program vaksinasi Covid-19 di negeri ini juga adalah sangat baik apabila seramai 588,880 telah lengkap dua dos vaksin ataupun 52.17 peratus daripada keseluruhan populasi penduduk negeri ini.
Tambahnya, nilai ambang kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) bagi menyediakan rawatan kepada pesakit Covid-19 di negeri ini turut merekodkan penyusutan daripada paras kritikal ke peringkat sederhana.
“Purata penggunaan katil telah berkurang sebanyak 36 peratus di hospital-hospital di Negeri Sembilan termasuk di dua buah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) iaitu di Politeknik Port Dickson dan di Stadium Tertutup Nilai. Jumlah katil kosong di PKRC Swasta juga adalah sebanyak 546 katil.
“Negeri Sembilan juga merekodkan penyusutan mendadak purata kes Covid-19, iaitu daripada empat angka hingga tiga angka sejak kebelakangan ini.
“Sekiranya diteliti nilai ambang purata kes Covid-19, dinisbahkan iaitu 6:1 kepada 100 peratus penduduk iaitu, negeri ini perlu merekodkan kes di bawah 600 untuk beralih ke fasa kedua PPN, sejak 13 Ogos lalu kes bagi Negeri Sembilan menunjukkan tren penurunan dari 974 kes ke 478 kes semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, perkembangan terkini untuk peralihan fasa berkenaan dijangka dapat meningkatkan ekonomi di negeri ini melalui pembukaan sektor ekonomi yang dibuat mengikut fasa dan pekerja yang perlu lengkap dua dos vaksin.
Hari ini Negeri Sembilan mencatatkan sebanyak 351 kes baharu Covid-19.