Nama saksi kes dana 1MDB digugur daripada saman - Utusan Malaysia

Nama saksi kes dana 1MDB digugur daripada saman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, nama bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menjadi saksi perbicaraan dana RM2.28 bilion, telah digugurkan daripada writ saman yang difailkan syarikat itu.

Mohd. Hazem Abd. Rahman, 49, bersetuju bahawa keseluruhan nama bekas ahli lembaga pengarah 1MDB dan pengurusan kanan termasuk beliau tidak lagi tersenarai sebagai defendan dalam tuntutan saman tersebut.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB itu berkata, hingga kini beliau masih belum menerima writ saman yang difailkan pada Mei lalu dan hanya mengetahui saman itu melalui media.

Ketika ditanya oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Mohd. Hazem bersetuju nama-nama pegawai ‘ikan bilis’ yang tidak tersenarai sebagai saksi mahupun gagal dikesan, bagaimanapun masih kekal dalam writ saman tersebut.

Menjawab soalan balas pihak pembelaan, beliau tidak bersetuju bahawa wujud rancangan awal yang diatur oleh pihak pendakwaan untuk menggugurkan nama pegawai-pegawai atasan 1MDB daripada writ saman itu.

Saksi itu turut menafikan beliau telah diberi jaminan oleh pihak pendakwaan bahawa dia akan mendapat imuniti daripada tindakan sivil dan jenayah serta namanya digugurkan daripada writ saman tersebut jika memberikan kerjasama sebagai saksi.

Muhammad Shafee turut mencadangkan bahawa saksi itu merupakan sebahagian daripada scam untuk memperdaya 1MDB dan apabila perkara itu diketahui oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), agensi itu memberi tekanan kepadanya agar memberi keterangan yang tidak memihak kepada Najib.

Bagaimanapun, saksi berkenaan tidak bersetuju dengan soalan tersebut.

Mohd. Hazem disoal balas secara bertubi-tubi pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri yang berdepan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Dalam keterangannya, saksi turut bersetuju bahawa beliau menerima gaji mencecah RM100,000 sebulan dan bonus sebanyak RM2.7 juta ketika berjawatan sebagai CEO 1MDB.

Mohd. Hazem kemudian ditanya tidakkah beliau malu menerima gaji dan bonus sebanyak itu sedangkan beliau menyatakan 1MDB diurus dan dikawal oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Muhammad Shafee menjelaskan, beliau mengajukan soalan itu bagi menunjukkan bahawa Mohd. Hazem bukan CEO dalam erti kata sebenar kerana Jho Low yang mengawal syarikat tersebut.

Saksi bagaimanapun tidak bersetuju dengan soalan itu dan menjawab beliau telah melaksanakan tugasnya sepanjang perkhidmatan sebagai pegawai tertinggi 1MDB.

Mohd. Hazem turut menafikan beliau dipilih secara peribadi oleh Jho Low sebagai CEO dan menganggotai lembaga pengarah bagi membolehkannya menerima arahan ahli perniagaan tersebut.

Saksi juga memberitahu beliau tidak mengambil apa-apa langkah termasuk mendapat kepastian daripada Najib atau memaklumkan kepada mana-mana pihak berhubung penglibatan Jho Low dalam 1MDB.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya