JAKARTA: Penyanyi cantik Indonesia, Nabilah Ayu mencuri perhatian netizen apabila tampil berbeza dengan mengenakan hijab.
Memetik laporan Liputan6, Nabilah atau nama sebenarnya, Nabilah Ratna Ayu yang sebelum ini sering berimej seksi berkata keputusan itu dibuat selepas dia sering bermimpi mengenai hijab.
“Pasti semua orang punya cerita masing-masing. Dari dahulu saya sering bermimpi sesuatu tentang hijab.
“Mungkin Allah baru mantapkan hati saya saat ini,” katanya.
Dalam pada itu, bekas anggota kumpulan JKT48 itu berkata, dia terkesan apabila ramai ahli keluarga dan kenalan rapat yang meninggal dunia dan keadaan itu juga mendorongnya tampil mengenakan hijab.
“Mengenangkan ada ahli keluarga yang meninggal dunia membuat saya terfikir tidak ada yang tahu bila kita akan dipanggilnya.
“Allah telah beri saya kehidupan, nafas, melihat matahari dan berkumpul keluarga, itu semua bentuk sayang Allah kepada saya,” katanya lagi.
Bercerita lanjut, penyanyi berusia 21 tahun ini berkata muncul satu ketika dimana hatinya tergerak untuk mengenakan hijab dan akhirnya memutuskan untuk kekal dengan penambilan tersebut.
“Kenapa saya tidak berubah lebih baik untuk Allah. Saya takut kerana kita tidak tahu sampai bila kita akan hidup, esok masih diberi nyawa atau tidak.
“Kerana itu saya mengambil langkah ke arah yang lebih baik,” ujarnya.