MARANG: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan selama sejam dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang di kediaman Presiden Pas itu di Rusila di sini, petang ini.
Muhyiddin yang diiringi Menteri Besar merangkap Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar tiba pada pukul 5 petang.
Ketibaan beliau disambut anak Abdul Hadi, Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk.
Bagaimanapun, pemerhatian Utusan Malaysia mendapati tiada kepemimpinan Pas lain yang menyertai pertemuan itu.
Muhyiddin kemudian dilihat keluar dari kediaman Abdul Hadi pada pukul 6.10 petang.
Terdahulu, Muhyiddin dalam lawatan kerja di negeri ini melawat pusat pemberian vaksin (PPV) di Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu. – UTUSAN ONLINE