PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengumumkan pelantikan Muhammad Helmi Abdullah sebagai Ketua Pengarah baharu berkuat kuasa semalam.
Jawatan tersebut kosong berikutan persaraan wajib Jailan Simon pada 31 Julai lalu.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan tersebut menjadikan beliau sebagai ketua pengarah ke-10 sejak penubuhannya.
Muhammad Helmi, 57, memulakan perkhidmatan pada 1988 sebagai Ahli Kajicuaca di Pejabat Ramalan Kota Kinabalu, Sabah dan berkelulusan Ijazah Sains (Kepujian) dalam bidang Matematik dari Universiti Malaya tahun 1987 serta memiliki Lepasan Diploma in dalam bidang Meteorologi daripada Training School Bureau of Meteorology Australian pada 1990.
Sepanjang lebih 33 tahun berkhidmat, beliau pernah menjadi pengarah serta pakar ramalan cuaca umum di Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional (POCGN).
Beliau turut pakar dan berpengalaman luas dalam Meteorologi Lautan dan Oseanografi khususnya Wave and Storm Surge Modelling.
Selain itu, beliau adalah Malaysian Tsunami Focal Point – Intergovernmental Coordination Group for the Indian Ocean Tsunami Warning and Mitigation System (ICG/IOTWMS) sejak 2019 hingga kini.
Beliau pernah mewakili Malaysia dalam persidangan antarabangsa seperti Mesyuarat Panel Antara Kerajaan Berkenaan Perubahan Iklim (IPCC) di Geneva, Switzerland selain aktif menerbitkan jurnal, buletin dan kertas utama dalam bidang cuaca, klimatologi dan model ramalan cuaca berangka dengan pengiktirafan dalam dan luar negara.
Malahan, beliau turut terlibat secara langsung dalam projek pembangunan sistem Pengkomputeran Berprestasi Tinggi untuk ramalan cuaca berangka yang berjaya meningkatkan keupayaan dan kapasiti dalam menyediakan ramalan cuaca tepat.
“MetMalaysia yakin pelantikan tersebut akan mengukir kecemerlangan perkhidmatan meteorologi dan geofizik Malaysia dan antarabangsa,” kata kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE