Mudahnya jadi pakar motivasi.... - Utusan Malaysia

Mudahnya jadi pakar motivasi….

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOLEH tidur nyenyak di atas tilam beralaskan wang ringgit, siapa saja yang tidak mahu bukan?

Lagi-lagi kalau kekayaan itu diraih cuma menjual air liur mencanang diri sebagai seorang pakar motivasi.

Walhal, latar belakang diri tidak pernah sekali pun memiliki sijil atau pengiktirafan bertauliah daripada mana-mana institusi pendidikan misalnya.

Golongan seperti ini nampaknya semakin banyak mula tumbuh bak cendawan terutama daripada kelompok mereka yang tidak malu mengangkat diri sendiri sebagai seorang pempengaruh media sosial.

Malah, ada juga dalam kalangan artis dan selebriti tanah air yang tidak segan silu mengguna pakai gelaran pakar motivasi sedangkan apabila diperiksa latar belakang, ada antaranya tidak layak pun menyampaikan motivasi.

Perkara ini bukan hal yang lucu kerana jika tidak dipantau, akan wujud lebih ramai ‘pakar motivasi segera’ dan palsu hanya kerana mereka popular dan mempunyai ramai pengikut dalam media sosial.

Pempengaruh bukan pakar motivasi – Rosyam Nor

Menurut penerbit dan pelakon berkaliber, Datuk Rosyam Nor, dia menyifatkan golongan pempengaruh lebih kepada perkongsian pengalaman mereka dan bukannya ahli pakar.

“Saya juga pernah dipanggil untuk berkongsi pengalaman. Namun saya tidaklah menggelarkan diri sebagai pakar motivasi kerana individu yang memberi motivasi ini akan diiktiraf oleh badan khusus.
“Jadi bagi pempengaruh, mereka mungkin lebih berkongsi pada kejayaan dan pengalaman. Tidak kiralah kepada netizen atau pada golongan sasaran mana sekali pun.

“Cuma masalahnya apabila berlaku suatu perkara dalam berhadapan orang luar kenalah pandai beradab,” ujarnya.

Datuk Rosyam Nor.

Menurutnya lagi, pempengaruh seharusnya terlebih dahulu mendapatkan pandangan atau ada panduan sama ada kandungan itu bersesuaian untuk dikongsikan kepada khalayak.

“Apa yang mereka buat dan nak siarkan dalam media sosial haruslah ada panduan. Ada orang yang pantau dengan melihat isi kandungan itu, apakah sesuai untuk tayangan umum atau tidak? Kalau tidak sesuai simpan untuk koleksi peribadi saja,” tambahnya.

Berbicara tentang ‘melatah’ apabila dikecam, Rosyam berkata, siapa pun dalam media sosial perlu bermuka tebal apabila dihujani komen berbaur kecaman kerana itulah harga yang perlu dibayar jika membuat perkongsian mengundang kritikan.

“Biasalah kalau dikecam, sesiapa saja berhak memberi komen apa yang kita buat. Kalau mereka sanggup jadi pempengaruh, harus terbuka menerima kecaman. Sama macam artis kena tebal muka untuk menghadapi segala tohmahan.

“Menjadi pempengaruh dan artis ini secara tidak langsung menjadi milik orang ramai. Tidak kiralah nak jadi apa pun mesti ada sebab bukan? Jadi kenalah tanggung dengan apa yang dipaparkan. Saya sendiri kena kutuk juga, kalau salah mengakulah,” katanya.

Tak percaya, segera ucap ‘selamat tinggal’ – Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah

Sebagai seorang pakar motivasi yang sudah 45 tahun berada dalam bidang ini, Mohd. Fadzilah tentunya menyedari kedatangan pelbagai pelapis baharu.

Bersikap terbuka, kata Mohd. Fadzilah, sesiapa sahaja boleh memberikan motivasi dan perkara itu sangat dialu-alukan sekiranya ternyata mereka mempunyai pengalaman dan ilmu dalam sesuatu cabang pengkhususan topik itu.

“Walau sesiapa pun yang mahu mengaku diri mereka sebagai pakar motivasi, tentu ramai orang awam akan memberi perhatian dan kemudiannya menilai sebelum memberi sokongan.

“Kalau mereka ini bila kita dengar percakapannya macam tak boleh pakai, pengisiannya tidak membawa kebaikan dengan sendirinya orang boleh ucapkan selamat tinggal.

“Tak kisahlah penyanyi ke, pelakon ke atau pempengaruh, jika dia ada kelebihan dari segi pengalaman dalam bidang perniagaan misalnya, dia boleh kongsikannya dengan orang ramai,” katanya.

Mengambil contoh Fizo Omar, kata Mohd. Fadzilah, sebagai pelakon, dia juga boleh memberikan motivasi dan kecenderungannya kepada bidang perniagaan berdasarkan pengalaman sendirinya dalam bidang itu.

“Maknanya, dia sesuai untuk bercakap mengenai hal keusahawanan. Kalau suruh saya cakap pasal bab francais, retails, bisnes kecil besar, rasa macam tak kena pula.

“Lihat dari perspektif positif. Ramai orang boleh belajar daripada orang yang gagal daripada orang yang berjaya. Sebab biasanya, daripada kegagalanlah kita belajar.

“Tapi itulah, maaf cakap, kalau ada yang rasa cuma perlu bersandarkan pada cantik, kacak, glamor, dan popular, itu bukan syarat utama untuk jadi pakar motivasi. Betulkan semula niat itu,” katanya.

Tanpa teknik motivasi sempurna, seseorang itu akan ‘langgar’ sahaja’ – Fazley Yaakob

Berbekal pengalaman 25 tahun sebagai pakar motivasi, penyanyi dan usahawan terkenal, Datuk Fazley Yaakob menyifatkan seorang pakar motivasi perlu memahami konteks komunikasi yang efektif.

Kata penyanyi lagu Maaf Ku Mencintaimu ini, itu termasuk pendekatan (komunikasi) yang bersesuaian mengikut budaya, agama dan adab tempatan.

“Contohnya, pakar motivasi di Amerika Syarikat menggunakan konsep berbeza untuk menaikkan semangat, tengking orang seperti tentera. Itu berlaku.

“Tetapi di Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia, adab dan kesopanan perlu dititik beratkan. Seorang pakar motivasi perlu memahami hierarki masyarakat, lebih beradab dan bersopan lebih-lebih lagi terhadap mereka yang lebih berusia.

“Tanpa teknik motivasi sempurna, seseorang itu akan ‘langgar’ sahaja dan akibatnya, mereka sampaikan motivasi kepada orang tua sama seperti layanan mereka kepada kanak-kanak. Begitu juga sebaliknya,” katanya.

FAZLEY YAAKOB

Pada masa sama, Fazley berkata dia menyambut baik kehadiran individu-individu yang berjaya atau jutawan tampil memberi motivasi kepada masyarakat.

Tetapi tegasnya, kejayaan sahaja tidak memadai. Seorang pakar motivasi yang baik perlu mengkaji dan mampu memahami personaliti manusia yang berbeza-beza.

“Setiap orang yang berjaya tidak semestinya boleh menjadi seorang pakar motivasi yang baik. Begitu juga seorang pakar motivasi tidak semestinya seorang jutawan. Mereka adalah dua kelompok berbeza.

“Saya tidak menyokong cara memberi motivasi yang tidak mengikut adab ketimuran. Kerana itu, perlunya seseorang pakar motivasi memahami aspek tersebut secara lebih mendalam,” ujarnya.

“Cerita kejayaan ini bagus, dialu-alukan tapi perlu ada ilmu” -Aznil Nawawi

Pelakon dan pengacara popular tanah air, Datuk Aznil Nawawi, berpendapat tidak salah seseorang itu untuk berkongsi cerita mengenai kejayaan tetapi sebaiknya perlulah mempunyai ilmu pengetahuan sebelum berbicara.

Menurut Aznil, dia menekankan perkara tersebut agar dapat mengelakkan isu sensitif berlaku dan menjadi buah mulut warganet apabila tercetusnya sesuatu kontroversi.

“Sebenarnya berkongsi cerita kejayaan adalah satu perkara yang bagus dan dialu-alukan, kerana kejayaan seseorang itu mempunyai cara yang berbeza-beza. Tetapi, ilmu perlu ada. Misalnya, ilmu bercakap, mengambil hati orang, merendah diri serta menghiburkan orang.

“Saya bimbang jika, tiada ilmu tentang motivasi, ia akan menjadikan seseorang itu mendapat ilmu yang salah serta amalkan cara yang salah. Malah, jika kita amalkan kehidupan seharian dengan riak, dan mendabik dada, itulah yang akan kita bawa semasa kita memberi motivasi,” katanya.

Sehubungan itu, pengacara popular rancangan Macam Macam Aznil itu juga berpendapat seorang yang ingin memberi motivasi tidak sewajarnya menyamai perjalanan hidupnya dengan orang lain.

AZNIL NAWAWI

“Kita tidak boleh samakan perjalanan hidup seseorang sama dengan kita. Jadi, kalau pakar motivasi perlu tahu, orang ini macam dan kita perlu usik dia menerusi cara bagaimana, tidak boleh pukul rata.

“Jadi inilah silapnya kepada mereka yang baru terlibat sebagai motivator. Bagi Pak Nil, perkataan pakar motivasi ini adalah orang yang ada sijil tertentu, saya sendiri tidak pernah menggelarkan diri pakar motivasi.

“Pak Nil bukan pakar motivasi tetapi saya boleh berkongsi inspirasi. Tetapi Pak Nil gunakan, rujukan diri sendiri. Ini semua tentang saya, pengalaman hidup saya, untuk orang lain jadikan iktibar dan belajar, itu adalah lebih tepat,” kongsinya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Aznil turut meminta kepada penganjur program di luar sana agar lebih berhati-hati dalam memilih motivator serta mempunyai sikap bertanggungjawab jika sesuatu isu berlaku.

“Kita tidak boleh terus menerus salah orang tetapi perlu menggalakkan mereka berkongsi. Bagaimanapun, penganjur harus berhati-hati menjemput motivator berkenaan, dan perlu ada rasa bertanggjungjawab jika ada isu yang berlaku serta jangan lepas tangan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya