Mudah tangani Covid-19 berbanding Polio - Utusan Malaysia

Mudah tangani Covid-19 berbanding Polio

PETUGAS kesihatan menyediakan jarum suntikan vaksin di sebuah pusat vaksinasi di daerah Errahma berhampiran Casablanca. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Beberapa saintis mendakwa usaha menangani wabak Covid-19 lebih mudah berbanding jangkitan virus Polio.

Menurut pasukan penyelidik dari University of Otago di New Zealand, pengambilan vaksin, langkah pencegahan seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial serta nasihat di peringkat global mampu menjayakan langkah tersebut.

Lapor Daily Mail, pasukan penyelidik bagaimanapun berkata, langkah menghapuskan Covid-19 adalah lebih sukar berbanding menangani penyakit cacar air.

Sebelum ini, kes jangkitan polio dikesan di seluruh dunia namun ia jatuh secara mendadak pada pertengahan tahun 1950an ketika vaksinasi diperkenalkan.

Sejak tahun 1980an, tiada kes jangkitan polio dilaporkan di United Kingdom (UK).

Pasukan penyelidik dalam satu artikel yang disiarkan di jurnal BMJ Global Health mengemukakan 17 faktor yang menyumbang kepada usaha menangani penyakit cacar air, wabak Covid-19 dan jangkitan polio.

Ia termasuk keberkesanan vaksin, tahap penularan setiap virus dan kebimbangan orang ramai dan kerajaan mengenai wabak tersebut.

Pakar menilai setiap faktor itu dengan memberikan skor dari satu hingga tiga bagi setiap wabak tersebut.

Skor yang tinggi bermaksud faktor itu mungkin dapat membantu usaha menangani wabak tersebut.

Covid-19 memperoleh skor sebanyak 1.6 manakala cacar air mendapat 2.7 dan polio pula hanya 1.5.

Menurut saintis, faktor yang mendorong kepada usaha menangani Covid-19 antaranya merupakan kesan kesihatan, sosial dan ekonomi akibat wabak itu serta minat global dalam mengawal pandemik tersebut.

Pasukan itu mendapati langkah pencegahan dan kawalan kesihatan awam yang dilaksanakan seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka, perintah berkurung dan pengesanan kontak dapat membantu usaha memerangi wabak tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya