KUALA LUMPUR: Selebriti dan usahawan, Shuib memohon orang ramai agar memadamkan gambar dan video isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang tidak menutup aurat dengan sempurna.
Dalam kenyataan dimuat naik di Instagram miliknya, Shuib atau Shahmira Muhamad turut berterima kasih kepada khalayak yang telah dan terus mendoakan kebaikan buat isterinya yang telah menghadap Ilahi pada awal pagi 9 Ogos lalu.
“Saya ada permintaan di mana saya mohon pada semua untuk tidak mengeluarkan lagi gambar atau video arwah yang tidak menutup auratnya dengan sempurna. Saya juga mohon kepada yang sudah muat naik di media sosial keluarkan kembali video atau gambar tersebut.
“Saya juga memohon untuk tidak menceritakan kebaikan Allahyarhamah secara berlebih-lebihan. Cukuplah kita bersederhana dalam setiap perkara dan perbuatan kita.
“Insya-Allah semoga kita diberkati dan dirahmati Allah SWT,” tulisnya.
Kata Shuib lagi, jika orang ramai merindukan arwah sebaik-baiknya sedekahkan Al-Fatihah saja.