PETALING JAYA: Penyanyi popular, Elyana Emrizal memaklumkan ibunya, Shamsidar Alias disahkan positif Covid-19.
Menerusi entri Instagram, Elyana memberitahu khabar tersebut dan turut memohon doa orang ramai untuk ibunya agar kembali sembuh serta diberi kekuatan melawan virus berkenaan.
“Hari ini (semalam) mama saya, Shamsidar Alias disahkan positif Covid-19. Bagaimanapun, Alhamdulilah ahli keluarga yang lain negatif.
“Saya mohon doa kalian untuk mama saya supaya diberikan kesembuhan segera serta diberikan kekuatan melawan sakit ini.
Dalam pada itu, dia juga menitipkan doa buat bapa dan adik lelakinya agar dijauhkan wabak pandemik tersebut daripada turut sama dijangkiti.
“Ya Allah, kau lindungilah ayah ku, Emrizal Shamsudin yang sedang menjaga ibu ku daripada terkena jangkitan ini.
“Serta jauhkanlah adik lelaki ku Eizad Ezmeer daripada berjangkit,” tulisnya di Instagram.