PETALING JAYA: Tidak berakhir malam ini, sebaliknya drama ‘Emas Hari Kebangsaan diragut?’ bakal bersambung pada keesokan hari.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bantahan semula ke atas Ukraine akan dibawa ke mesyuarat Chef de Mission (CDM), esok pagi.
“Protes daripada Ukraine masih diterima. Counter protest daripada tiga negara akan dibawa ke mesyuarat CDM esok pagi.
“Kita pertahankan. Mohon doa rakyat Malaysia,” tulis Faizal menerusi Twitter, sebentar tadi.
Menurut Ahmad Faizal, protes sudah dihantar, termasuk semua bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di ‘call room’ dan luar ‘call room’.
Update Tokyo – Protes drpd Ukraine masih diterima. Counter protest drpd 3 negara akan dibawa ke mesy CDM esok pagi. Kita pertahankan!! Mohon doa rakyat Msia.
— Faizal Azumu (@PejaOfPerak) August 31, 2021
Terdahulu, pingat emas Ziyad Zolkefli dalam acara acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) Sukan Paralimpik 2020, kira-kira pukul 7.30 malam tadi tiba-tiba ‘diragut’.
Ia susulan terdapat protes daripada atlet Ukraine dengan mendakwa tiga atlet iaitu Ziyad, Todd Hodgetts dari Australia dan Jordi Patricio (Ecuador), lewat untuk memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.
Protes tersebut menyebabkan tiga atlet terbabit dalam status did not start (DNS), sekali gus menyebabkan pingat emas yang dimenangi Ziyad, termasuk rekod dunia baharu, 17.94m dibatalkan.