Menteri, timbalan menteri sedia bawa suara rakyat Sabah, Sarawak - Utusan Malaysia

Menteri, timbalan menteri sedia bawa suara rakyat Sabah, Sarawak

MOHAMAD Alamin (kanan) dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II. manakala Maximus Ongkili dilantik semula sebagai sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pelantikan semula Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) akan membolehkan pelan tindakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata, beliau akan meneruskan perjuangan bagi memenuhi tuntutan Sabah dan Sarawak dalam MA63 seperti yang diharapkan oleh rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, pelbagai usaha telah dilakukan bagi mengenal pasti isu-isu yang perlu diselesaikan.

Malah katanya, pelan tindakan juga telah disusun untuk membolehkan perkara berkaitan perubahan dari segi dasar, peraturan, perundangan dan perlembagaan dapat dilihat secara terperinci.

“Saya bersedia untuk bekerjasama erat dengan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak untuk menjayakan segala perancangan dan pelan tindakan yang akan dikenal pasti dan dilaksanakan.

“Saya yakin Kabinet baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri ini akan memberi perhatian kepada tuntutan hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63. Kita harap tuntutan ini akan mendapat sokongan penuh dan diselesaikan sepenuhnya seperti diharapkan oleh rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak,” katanya di sini semalam.

Menurut Maximus, bagi pihak Parti Bersatu Sabah (PBS), mereka berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana sekali lagi memberi kepercayaan kepada beliau untuk berkhidmat kepada negara melalui Kabinet Persekutuan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin berkata, beliau amat menghargai kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh Perdana Menteri untuk beliau menganggotai barisan Kabinet Persekutuan buat kali pertama.

Beliau memberi jaminan akan berusaha melakukan yang terbaik untuk menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II.

“Saya akan akan cuba melakukan yang terbaik bagi memastikan mutu pendidikan khususnya di Sabah dan Sarawak dapat dipertingkatkan.

“Saya juga akan memastikan kemudahan infrastruktur dan prasarana sekolah-sekolah daif yang banyak terdapat di Sabah dan Sarawak akan turut diberi perhatian,” katanya.

Maximus dan Mohamad antara dua daripada enam ahli Kabinet Persekutuan baharu yang dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.

Empat yang lain adalah Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee; Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jonathan Yassin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya