Poklip pernah menegur seorang penyanyi lelaki ini yang suka benar menyanyi dengan sebutan pelat. Macam pelik bunyinya bila mendengar seseorang menyanyi dengan sebutan pelat. Jadi jelik.
Tetapi baru-baru ini, Poklip terdengar sebuah lagu baharu daripada penyanyi wanita ini. Aduh, sama sebutan pelatnya. T disebut ‘thi’. Cinta jadi ‘cintha’. Kenapa tidak disebut dengan betul ‘cinta’.
Poklip tidak tahu jika anda yang bersetuju atau tidak dengan kerisauan ini tetapi, jika sebutan bahasa Inggeris dalam nyanyian diutamakan, kenapa kalau bahasa Melayu yang pelat ‘dihalalkan’ pula?
Kita faham sahaja jika itu adalah cara nyanyian seseorang artis tetapi cuba kalau kita tersalah sebut atau pelat dalam berbahasa Inggeris, pasti tular satu Malaysia. Konon tak pandai bercakap ‘omputih’.
Sebagai rakyat Malaysia malah barisan anak seni yang sering menjadi ikutan, kadang kala perkara yang dianggap kecil itu boleh mencorak budaya dan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pendengar.
Terutama golongan muda yang mudah mengikut cara atau sebutan selebriti. Poklip tak marah, jauh sekali rasa diri betul tetapi menjadi tanggungjawab kita untuk saling menegur dan menerima teguran.
Rasanya guru vokal dan penyanyi, Datuk Syafinaz ketika menjadi juri sebuah rancangan realiti selalu menekankan sebutan yang betul. Kalau tiada jadi ‘thiada’, kudrat jadi ‘kudrhat’, apakah maksudnya itu ya? Fikirkan.