JOHOR BAHRU: Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (Me’didik) merayu Kementerian Pendidikan menangguhkan sesi pembukaan sekolah dan pembelajaran secara bersemuka yang dijadualkan bermula 1 September ini.
Pengerusinya, Mohd. Ridhwan Othman berkata, pihaknya menghargai usaha kerajaan untuk memartabatkan pendidikan anak bangsa pada masa kini namun soal keselamatan dan kesihatan juga harus jadi pertimbangan.
Katanya, jumlah kes aktif pada hari ini telah mencapai 243,942 kes dan dijangka terus mencatatkan peningkatan.
“Oleh itu, kami merayu agar kerajaan menangguhkan pembukaan sekolah dan pembelajaran secara bersemuka memandangkan kes harian mencecah lima angka hari ini.
“Tambahan, varian Delta masih sukar dikawal dan menular secara pantas. Ini menyebabkan ibu bapa dan guru amat risau akan nasib pelajar yang terpaksa didedahkan kepada bahaya,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Ridhwan memberitahu, buat masa ini, pendidikan boleh dilakukan secara dalam talian melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) seperti yang telah berjaya dilaksanakan selama ini.
Katanya, persoalan ‘lost generation’ atau generasi hilang tidak berbangkit kerana pembelajaran sebegini telahpun dijayakan di banyak negara maju lain, malah ramai cendekiawan dilahirkan melalui pendidikan tidak konvensional. – UTUSAN ONLINE