KOTA BHARU: Masjid dan surau di seluruh Kelantan dibuka semula kepada orang awam dengan kapasiti normal sebaik sahaja rakyat di negeri ini mencapai tahap imuniti kelompok.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Tan Sri Tengku Rizam Tengku Abdul Rahman berkata, setakat ini prosedur operasi standard (SOP) sedia ada masih dikuat kuasa di seluruh negeri.
SOP tersebut, katanya, menetapkan hanya empat jemaah dibenarkan menunaikan solat di masjid membabitkan imam, bilal dan pegawai-pegawai masjid.
“Memandangkan angka jangkitan masih mencecah empat angka, sepertimana titah Sultan Kelantan yang mengambil kira pandangan pihak berkuasa, maka kita kekalkan had bilangan jemaah sementara waktu.
“Sekiranya ada penurunan kes jangkitan dan vaksinasi di Kelantan sudah meningkat, kita akan teliti semula SOP,” katanya kepada pemberita di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan merasmikan Majlis Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan Maik bagi Januari hingga Jun 2021.
SOP membenarkan hanya empat jemaah menunaikan solat di masjid dan surau di seluruh Kelantan dikuatkuasakan sejak 1 Jun lalu. – UTUSAN ONLINE