PETALING JAYA: Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid menyifatkan, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah menjadi lebih berkesan sekiranya kegiatan berbentuk kokurikulum berteraskan akademik dapat dijalankan.
Ketika bercakap dalam majlis penutup Pertandingan Koakademik Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pendidikan 2021, beliau menganggap aktiviti tersebut sesuai dengan matlamat asal pendidikan bahasa Melayu yang bertujuan mendukung hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Katanya, ia bagi mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi serta jasmani.
Malah katanya, kegiatan kokurikulum secara tidak langsung dapat mengukuhkan kemahiran berbahasa pelajar yang merangkumi kemahiran mendengar dan bertutur, membaca serta menulis.
“Sesungguhnya, saya melihat bahawa pelaksanaan Pertandingan Koakademik bahasa Melayu sememangnya seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang dirancang oleh Kementerian Pendidikan dan Pelan Strategik DBP (2021-2025).
“Sungguhpun DBP bukanlah institusi pendidikan yang secara langsung terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah, namun DBP komited melaksanakan aktiviti sokongan yang bersifat koakademik yang bersesuaian, khususnya dalam mata pelajaran bahasa Melayu pada peringkat sekolah rendah dan menengah,” katanya melalui siaran langsung di akaun Facebook rasmi DBP.
Pada masa sama, beliau berpendapat pertandingan yang diadakan mampu menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dalam kalangan pelajar, khususnya pelajar sekolah menengah kebangsaan walaupun dalam kaedah norma baharu.
“Kegiatan ini bertujuan menjadikan bahasa Melayu sebagai saluran pengungkapan buah fikiran dan ilmu pengetahuan yang berkesan, betul dan indah. Melalui program ini diharap akan lahir generasi muda berketerampilan yang berupaya mengungkapkan bahasa Melayu sebagai wahana budaya yang tinggi.
“Dalam hal ini, para pelajar perlu terus-menerus diberi ingatan tentang peri pentingnya bahasa kebangsaan dimartabatkan dan ditempatkan pada kedudukan yang sewajarnya.
“Mungkin kini para pelajar kurang menyedari bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, apatah lagi sebagai lambang jati diri bangsa kita. Dengan kata lain, bahasa Melayu tetap menjadi bahasa pentadbiran negara, bahasa Melayu tetap menjadi bahasa utama di tempat awam, dan bahasa Melayu terus menjadi citra bangsa kita,” katanya.
Pertandingan yang dianjurkan oleh DBP itu turut mendapat sumbangan dana
daripada Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) manakala semua Jabatan Pendidikan Negeri dan DBP Cawangan dan Wilayah bertanggungjawab dalam menyelenggarakan pertandingan tersebut di peringkat negeri. – UTUSAN ONLINE