Maqis patahkan cubaan bawa masuk anak pokok putih bernilai RM11,700 - Utusan Malaysia

Maqis patahkan cubaan bawa masuk anak pokok putih bernilai RM11,700

SEBAHAGIAN anak pokok kayu putih yang dirampas Maqis di KLIA, Sepang Rabu lalu. - FOTO IHSAN MAQIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Cubaan seorang lelaki membawa masuk anak pokok kayu putih dari China bernilai RM11,700 menerima padah apabila ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Rabu lalu.

Lelaki tempatan berusia 50-an itu ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) pada pukul 4 petang ketika pemeriksaan rutin dijalankan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Maqis dalam satu kenyataan berkata, hasil pemeriksaan ke atas lelaki tersebut mendapati suspek membawa empat bagasi mengandungi 45,000 anak pokok kayu putih (Eucalyptus) dengan anggaran nilai RM11,700.

“Siasatan lanjut mendapati anak pokok berkenaan adalah untuk ditanam di negeri Pantai Timur.

“Sehubungan itu, kesemua anak pokok berkenaan dirampas kerana gagal mengemukakan permit import dan sijil fitosanitasi,” katanya.

Menurut Maqis, perbuatan mengimport tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah atau mikroorganisma tanpa permit adalah salah mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Jika sabit kesalahan individu itu boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Jelasnya, Maqis sentiasa tegas, cekap dan teliti dalam menjalankan aktiviti penguatkuasaan di semua pintu masuk seluruh negara.

“Langkah ini bagi menjamin keselamatan pertanian dan makanan negara.

“Ia juga bagi memastikan makanan yang keluar dari Malaysia mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya