Mangsa keempat kejadian kepala air ditemukan - Utusan Malaysia

Mangsa keempat kejadian kepala air ditemukan

ABDUL Wahab Mat Yasin (kanan) mendengar taklimat mengenai operasi mencari dan menyelamat mangsa kejadian kepala air oleh Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon di Hutan Lipur Titi Hayun, Yan. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Mangsa keempat yang hilang selepas kejadian fenomena kepala air di Gunung Jerai ditemukan di kawasan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) Sungai Udang di sini, kira-kira pukul 3.10 petang ini.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, mayat mangsa, Mohamad Faizal Zohir, 28, dari Titi Teras di sini ditemukan dalam lumpur di muara sungai.

Katanya, mayat mangsa ditemukan kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian di Hutan Lipur Titi Hayun di sini selepas dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air petang semalam.

“Usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9), berjaya menemukan mayat mangsa keempat tersebut,” katanya ketika ditemui Hutan Lipur Titi Hayun di sini hari ini.

Dalam pada itu tambahnya, JBPM juga masih mengesan dua lagi mangsa yang dilaporkan hilang dalam kejadian itu.

Menurutnya, dua mangsa lagi masih dilaporkan hilang dan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Sebelum ini tiga individu disahkan maut dengan mangsa pertama yang merupakan seorang penduduk tempatan, Ahmad Din, 64, ditemukan tersangkut di pokok pisang di Kampung Setoi, dekat sini.

Mayat kedua adalah pekerja Jerai Hill Resort yang ditemukan di sebalik timbunan ranting kayu dan lumpur kira-kira 200 meter dari pusat peranginan tersebut pada pukul 10.35 malam tadi.

Mengulas lanjut katanya, selain menggunakan kepakaran unit K9, pihaknya turut menggunakan dron untuk mengesan mangsa yang masih hilang itu.

“Lebih 70 pegawai dan anggota bomba terdiri daripada pelbagai kepakaran, bergandingan bersama pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta malim gunung bagi mencari mangsa.

“Pencarian dipecahkan kepada dua sektor merangkumi jarak sejauh antara enam hingga tujuh kilometer. Bagaimanapun kita berdepan beberapa cabaran antaranya sisa kayu dan batu besar yang dihanyutkan arus.

“Malah kita tidak menolak kemungkinan mangsa tertimbus yang memerlukan misi menyelamat dilakukan dengan teliti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya