PETALING JAYA : Skuad terjun negara berpeluang meraih pingat di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong bersaing dalam acara 10 meter(m) platform individu wanita, hari ini.
Sebanyak 30 penerjun akan bertanding pada peringkat kelayakan dan hanya 18 terbaik akan mara ke separuh akhir, seterusnya 12 akan bertanding dalam perebutan pingat.
Setakat ini China menjadi pasukan terjun terbanyak mengutip emas apabila telah mengumpul lima daripada lapan pingat emas yang ditawarkan di Olimpik Tokyo 2020, dimana edisi lalu di Rio 2016, mereka meraih tujuh emas.
Dengan mempertaruhkan dua penerjun muda dan juga penampilan pertama buat Chen Yuxi berusia 15 tahun dan Quan Hongchan (14 tahun) dalam acara berkenaan di Olimpik, bermakna kelebihan dari segi pengalaman lebih memihak kepada Pandelela dan Jun Hoong.
Bagi jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang, dia menaruh kepercayaan dengan keupayaan dimiliki anak didiknya Jun Hoong untuk memberi cabaran sengit dalam acara tersebut.
“Pertandingan kali ini penerjun negara ada peluang yang besar kerana Covid-19 berikutan kebanyakan sistem latihan setiap negara sudah berubah, markah yang diraih dalam Sukan Olimpik kali ini pun agak rendah.
“Saya kenal mereka (penerjun China), jurulatih mereka pun sebelum ini merupakan rakan sepasukan saya dan hubungan kami masih akrab. Kami masih saling berhubung biarpun tiada pertandingan,” katanya.