“Mak, Fauziah menangis teringatkan mak” - Ogy Ahmad Daud - Utusan Malaysia

“Mak, Fauziah menangis teringatkan mak” – Ogy Ahmad Daud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon bertaraf primadona negara, Fauziah Ahmad Daud, 59, atau Ogy, mendedahkan dirinya sayu dan sedih apabila terkenangkan Allahyarhamah ibunya, seniwati Saadiah Baharom saat dia membawakan watak Noriah dalam drama popular berjudul Ayahanda.

Menurut Ogy, watak tersebut telah dimatikan dalam satu daripada episod tayangannya dan ia nyata memberi kesan buat dirinya walau cuma melakonkan watak tersebut.

“Mak, Fauziah berlakon dalam drama Ayahanda dan ada adegan yang Fauziah lakonkan itu, meninggal. Dalam bilik hotel, habis sahaja penggambaran adegan itu, Fauziah menangis puas-puas sebab teringatkan mak.

“Rindu sangat pada mak. Setiap saat anak-anak rindu pada mak tahu,”luahnya dalam satu hantaran di akaun Instagramnya malam tadi.

Hantaran tersebut juga dibuat oleh Ogy sebagai satu dedikasi bermakna buat arwah ibunya yang dilahirkan pada tanggal 10 Ogos 1936.

Kongsi Ogy lagi, seandainya Allahyarham masih hidup, hari ini genap usianya 85 tahun.

“Kalau mak masih ada kan, mak akan berusia 85 tahun. Mesti kita sambut hari lahir mak, bawa mak pergi makan dengan anak-anak dan cucu-cucu.

“Mak mesti tersenyum dengan senyuman mak yang paling manis itu dan ketawa melihat keletah anak-anak dan cucu-cucu. Kita orang ini kan suka sakat mak dengan dialog filem mak, Antara Dua Darjat.

“Ghazali bangun Ghazali. Mak mesti ketawa sambil gigit jari telunjuk. Mak memang aktres yang hebat, tapi tak pernah sekali pun kata mak hebat. Beruntung Fauziah dapat berguru dengan mak,”katanya.

Selain itu, Ogy turut menyatakan rasa syukur dan terima kasihnya atas segala pengorbanan arwah ibunya yang dianggap sungguh tidak ternilai.

“Mak berehat yang disana. Kami anak-anak, cucu mak tak akan pernah lupa untuk mendoakan mak setiap hari. Kami sayang mak tahu. Kami nak jumpa mak semula di sana ya. Mak jangan risau, kami semua okey di sini.

“Terima kasih ya mak melahirkan, menyusukan, mendidik, membesarkan dan sentiasa mendoakan Fauziah dan anak-anak mak yang lain. Fauziah bangga sangat jadi anak mak tahu.Selamat hari lahir ya mak,”katanya.

Allahyarhamah Saadiah meninggal dunia pada 26 Februari 2005 di usia 68 tahun akibat penyakit kencing manis dan gangren.

Habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya