Mahkamah keluarkan waran tangkap terhadap pemilik syarikat teksi bergelar Datuk - Utusan Malaysia

Mahkamah keluarkan waran tangkap terhadap pemilik syarikat teksi bergelar Datuk

MAHKAMAH Sesyen Shah Alam, Selangor mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang pemilik syarikat teksi bergelar Datuk kerana tidak hadir pada pertuduhan kes yang difailkan terhadapnya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang pemilik syarikat teksi bergelar Datuk apabila gagal menghadirkan diri untuk pertuduhan kes yang dikenakan kepadanya hari ini.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang memohon waran tangkap dikeluarkan memandangkan tertuduh sudah menerima sendiri makluman mengenai pertuduhan kes yang difailkan terhadapnya pada Isnin lalu.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh untuk mengemukakan maklumat terkini status aplikasi MySejahtera serta surat daripada pihak Kementerian Kesihatan dan hospital mengenai keadaan kesihatan terkini dirinya.

“Permohonan waran tangkap dibenarkan terhadap tertuduh. Saya mahu ‘update’ status MySejahtera, ada surat daripada Kementerian Kesihatan dan hospital kerana sijil cuti sakit ini tidak mencukupi.

“Mahkamah mahukan maklumat kesihatan terkini tertuduh dan tempoh dua minggu cukup untuknya menyerah diri,” katanya.

Terdahulu, pihak pembelaan yang diwakili peguam bela, Putri Aisyah Zahirah Zakrya memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh tidak dapat hadir kerana dijangkiti Covid-19 pada 3 hingga 11 Ogos lalu.

Katanya, tertuduh yang mempunyai pelbagai penyakit termasuk kanser kolon, buah pinggang kronik dan darah tinggi juga baru dibenarkan pulang daripada Hospital Prince Court semalam dan memperoleh cuti sakit sehingga 6 September akan datang.

“Pihak kami baru dimaklumkan mengenai sijil cuti sakit ini pada petang semalam. Saya minta maaf dan memohon mahkamah mempertimbangkan keadaan (kesihatan) tertuduh,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab. Wahab memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh sudah dimaklumkan pengenai pertuduhan hari ini pada 23 Ogos lalu dan beliau sendiri menerima dan menandatangani surat berkenaan.

“Semasa penyerahan notis kepada tertuduh, sijil cuti sakit ini tidak ada dan ia diterima selepas pemfailan dibuat.

“Tertuduh turut menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Ogos lalu dan beliau tidak dapat hadir kerana positif Covid-19 dan kes itu akan disebut pada Jumaat ini.

“Pihak pendakwaan tidak dimaklumkan mengenai sijil cuti sakit dan sebab itu kami memfailkan pertuduhan. Ketika serahan kepada tertuduh, dia dalam keadaan baik. Pihak pendakwaan memohon untuk mengeluarkan waran tangkap,” katanya.

Tertuduh dilaporkan disahkan positif Covid-19 pada 3 Ogos dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh sehingga 11 Ogos lalu. Dia kemudian dimasukkan ke hospital Prince Court pada 12 Ogos sebelum dibenarkan pulang pada 23 Ogos lalu.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 9 September hadapan.

Sumber SPRM pada 3 Ogos lalu dilaporkan berkata, lelaki berusia 50-an itu akan didakwa kerana meminta rasuah berjumlah RM95,000 daripada seorang individu yang kesnya sedang dibicarakan di peringkat Mahkamah Rayuan.

“Suspek meminta wang itu kononnya untuk dibayar kepada Timbalan Pendakwa Raya dan pegawai di Pejabat Peguam Negara yang menjalankan kes berkenaan.

“Daripada jumlah yang diminta itu, suspek dipercayai sudah menerima RM10,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya, kemudian suspek meminta lagi RM35,000 secara tunai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya